DAMSYIK: Pihak berkuasa Syria memberkas pegawai tertinggi tentera zaman rejim Bashar al-Assad, Mohammed Kanjo Hassan yang terkenal kerana menjatuhkan hukuman mati terhadap tahanan di Penjara Saydnaya.
Penahanan pegawai tersebut disahkan oleh Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), sehari selepas pertempuran maut tercetus di wilayah Tartus.
Wilayah itu merupakan kubu kuat Bashar, apabila sekumpulan penyerang cuba melindunginya.
Kanjo Hassan adalah pegawai berpangkat tinggi yang menjatuhkan hukuman mati terhadap ribuan tahanan dan berita penahanannya diumumkan sejak kejatuhan Bashar, 8 Disember lalu.
Persatuan Tahanan dan Mangsa yang Hilang dari Penjara Saydnaya memaklumkan, Kanjo Hassan mengetuai Mahkamah Ketenteraan Syria dari 2011 hingga 2014, tiga tahun pertama perang yang bermula dengan tindakan keras Bashar terhadap protes demokrasi yang diinspirasi dari Arab Spring.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Keadilan Ketenteraan di seluruh negara, menurut Diab Serriya, pengasas bersama kumpulan tersebut.
Kompleks Penjara Saydnaya, yang menjadi tempat bagi pelaksanaan hukuman mati tanpa perbicaraan, penyeksaan dan penghilangan paksa, menjadi lambang kekejaman yang dilakukan terhadap penentang Bashar.
Nasib puluhan ribu tahanan dan mangsa yang hilang kekal sebagai salah satu warisan paling mengerikan semasa zaman pemerintahannya.
Bashar melarikan diri ke Russia selepas serangan yang diketuai oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) merampas satu demi satu bandar, sehingga Damsyik jatuh ke tangan pejuang.
Kejayaan itu sekaligus menamatkan pemerintahan keluarga Bashar yang berlangsung selama lima dekad.
Berita kejatuhan rejim itu mencetuskan kegembiraan di seluruh Syria dan rakyatnya yang berada di luar negara.
Sumber tentera Syria mendedahkan Bashar hanya membawa beberapa orang kepercayaannya sahaja semasa melarikan diri ke Russia.
Ramai individu dan ahli keluarga yang lain ditinggalkan termasuk adiknya, Maher al-Assad.
Kini, selepas 13 tahun perang saudara, lebih 500,000 terbunuh dan lebih 100,000 masih hilang.
Pihak berkuasa baharu yang diketuai oleh kumpulan pejuang HTS berikrar untuk memberikan keadilan kepada mangsa kekejaman di bawah pemerintahan Bashar yang digulingkan. -AGENSI