SEOUL: Pegawai Kanan yang bekerja untuk Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menawarkan diri untuk meletakkan jawatan secara beramai-ramai, hari ini.
Agensi berita Yonhap melaporkan, pengumuman itu dibuat selepas Yoon menarik semula perintah undang-undang tentera yang diisytiharkan dalam tempoh enam jam di negara itu.
“Pegawai kanan Yoon menawarkan diri untuk meletakkan jawatan beramai-ramai selepas pengisytiharan undang-undang tentera,” lapor Yonhap tanpa memberikan butiran lanjut.
Pejabat Presiden belum memberikan maklum balas berhubung perkara itu.
Pada Selasa, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera dengan menuduh parti pembangkang terlibat dalam aktiviti anti negara yang merancang pemberontakan.
Menerusi ucapan yang disiarkan dalam televisyen, Yoon menjelaskan undang-undang tentera itu bertujuan membanteras kumpulan pro-Korea Utara serta melindungi kestabilan Perlembagaan berteraskan kebebasan.-AFP