PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menubuhkan pasukan petugas untuk menilai segala isu kelemahan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, kumpulan khas kementerian tersebut malah bakal membentangkan laporan hasil kajian mengenai skim berkenaan pada 1 Mac depan.
“Apa sahaja isu termasuk isu kos RMT yang dikatakan rendah itu memang ada dalam radar diperbincangkan oleh pasukan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.
Semalam Utusan Malaysia menyiarkan keluhan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mengenai isu kos tinggi penyediaan RMT.
Ia susulan kenaikan mendadak harga bahan mentah mengakibatkan mereka sukar dalam menghidangkan menu lengkap dan berkhasiat untuk murid dipilih menerima skim itu.
Ketika pembentangan Belanjawan 2025, dana RMT ditambah kepada RM870 juta daripada RM784 juta untuk tahun ini dan bakal memanfaatkan lebih 860,000 murid miskin.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pelaksanaan RMT sejak 1979 mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan senarai 20 menu berbeza setiap hari.
“Justeru, laporan pasukan petugas ini kelak akan melihat rangkuman pelbagai masalah berbangkit termasuklah keberkesanan aspek pemantauan pentadbir sekolah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa RMT diwujudkan KPM untuk membudayakan amalan pemakanan sihat dalam kalangan murid keluarga miskin sepanjang belajar di sekolah.
Pada masa sama ujarnya, skim itu juga sebagai usaha intervensi dengan pihak KKM bagi memastikan kumpulan sasaran layak menerima khasiat seimbang yang cukup berzat.
Sementara itu, Fadhlina turut menafikan ada berlaku kebocoran kertas soalan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 sepertimana tular diperkatakan warganet tempatan.
“KPM sudah menyemak perkara berkenaan dan laporan awal menunjukkan kes itu tidak menepati kriteria standard kebocoran malah situasi adalah masih terkawal,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut mengambil maklum laporan media tempatan mengenai ada pelajar menawarkan imej pornografi dan berjanji akan membuat siasatan kesahihan isu tersebut. – UTUSAN