PETALING JAYA: Sebanyak lima projek River of Life (RoL) dibatalkan kerana kurang signifikan bagi mencapai objektif pelaksanaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek RoL terdiri daripada tiga komponen utama iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.
“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah meneliti 12 projek RoL yang masih dalam peringkat prapelaksanaan agar hanya projek-projek yang signifikan akan diteruskan.
“Oleh itu, sebanyak lima projek telah dibatalkan kerana kurang signifikan bagi mencapai objektif pelaksanaan RoL. Manakala tujuh projek lagi akan diteruskan agar objektif awal Projek RoL iaitu pengindahan dan pembersihan sungai dapat dicapai.
“Selain itu, proses perolehan sedang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan supaya projek berjalan dengan lancar dan risiko-risiko pelaksanaan projek diambil kira sepenuhnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan susulan terhadap 12 Projek River of Life masih dalam peringkat pra pelaksanaan, seperti mana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, JWP bersama agensi pelaksana sentiasa komited agar pelaksanaan projek yang telah digariskan dalam RoL menepati objektif awal yang telah ditetapkan.
“Kerjasama daripada semua pihak bagi mengimbangi kelestarian kebersihan dan keindahan sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang amat diperlukan bagi menjayakan hasrat Sungai Nadi Kehidupan,” katanya.
Terdahulu, projek RoL merupakan salah satu Entry Point Project (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Klang Valley.
Projek itu bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada sebuah ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi. – UTUSAN