SEOUL: Korea Utara menegaskan pakatan ketenteraannya dengan Russia terbukti ‘amat berkesan’ dalam mengekang Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.
Penegasan itu sekali gus menolak kenyataan Washington dan sekutunya yang mengkritik hubungan erat antara Pyongyang dan Moscow, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Korea Utara tidak menyentuh tentang penglibatannya dalam perang Ukraine atau dakwaan mengenai kehilangan nyawa besar-besaran di kalangan tenteranya di wilayah Kursk, seperti yang dilaporkan oleh pegawai AS dan Ukraine.
Sebaliknya, Pyongyang mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh AS bersama sembilan negara lain serta Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin, sambil menyifatkan ia sebagai usaha untuk ‘memutarbelitkan dan mencemarkan hubungan kerjasama normal’ antara Korea Utara dan Russia.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara berkata, Washington dan sekutunya dipersalahkan kerana didakwa memanjangkan konflik Ukraine dan menggugat kestabilan keselamatan di Eropah serta rantau Asia-Pasifik.
“Keadaan ini berpunca daripada tindakan salah AS dan Barat yang terus berpegang kepada dasar ketenteraan bersifat hegemoni dan berbahaya,” kata kenyataan itu.
Menurut pegawai AS dan Korea Selatan, lebih 10,000 askar Korea Utara telah dihantar bagi membantu Rusia dalam perang Ukraine.
Pyongyang juga dilaporkan telah menghantar lebih 10,000 kontena berisi peluru artileri, roket anti-kereta kebal, howitzer mekanikal serta pelancar roket.
Namun begitu, kedua-dua Korea Utara dan Russia tidak pernah secara rasmi mengesahkan penghantaran tentera atau bekalan senjata tersebut.
Pada Selasa, Ketua Komander Tentera Ukraine menyatakan Russia aktif menggunakan askar Korea Utara di wilayah Kursk dan mereka dilaporkan mengalami kerugian besar.
Jun lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, telah mengunjungi Pyongyang dan menandatangani perjanjian ‘perkongsian strategik menyeluruh’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, termasuk satu pakatan pertahanan bersama. -AGENSI