OpenAI lancar ciri carian internet percuma, cabar dominasi google

OpenAI lancar ciri carian internet percuma, cabar dominasi google

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO : Syarikat teknologi OpenAI mengumumkan ciri carian internet berasaskan ChatGPT kini boleh diakses oleh semua pengguna, sekali gus mencabar penguasaan Google sebagai gergasi enjin carian.

Firma berpangkalan di San Francisco itu menaik taraf chatbot AI generatif ChatGPT dengan keupayaan enjin carian sejak akhir Oktober lalu, namun ciri tersebut sebelum ini hanya ditawarkan kepada pelanggan berbayar.

Menurut OpenAI, fungsi baharu ini membolehkan pengguna menerima jawapan pantas dan terkini berserta pautan ke sumber web yang relevan, sesuatu yang sebelum ini memerlukan penggunaan enjin carian tradisional.

“Ini bermakna ciri ini akan tersedia di seluruh dunia dan boleh diakses pada setiap platform dengan hanya menggunakan ChatGPT,” kata Ketua Pegawai Produk OpenAI, Kevin Weil dalam video yang dimuat naik di YouTube.

Contoh antara muka baharu yang dipaparkan OpenAI mirip dengan hasil carian Google dan Google Maps, tanpa gangguan iklan.

Selain itu, ia kelihatan serupa dengan Perplexity, satu lagi enjin carian berasaskan AI yang menawarkan jawapan dengan format perbualan serta menyertakan sumber rujukan.

OpenAI tidak melancarkan produk berasingan sebaliknya mengintegrasikan fungsi carian terus ke dalam ChatGPT.

Pengguna boleh mengaktifkan ciri ini secara automatik atau secara manual melalui ikon carian web.

Sejak dilancarkan, chatbot AI seperti ChatGPT dan Claude keluaran Anthropic terhad oleh tarikh akhir data, menyebabkan jawapan yang diberikan tidak mengandungi maklumat terkini.

Penambahan fungsi carian dalam ChatGPT dijangka mencetuskan lebih banyak persoalan mengenai hubungan OpenAI dengan Microsoft, pelabur utama syarikat itu, yang juga sedang berusaha memperluaskan capaian enjin carian Bing dalam saingan menentang Google.

Strategi menarik pengguna baharu dengan keupayaan carian internet dijangka meningkatkan keperluan pengkomputeran dan kos operasi syarikat yang sememangnya amat tinggi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya