Nasib berbeza buat dua beregu negara

Nasib berbeza buat dua beregu negara

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan momentum kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib berbeza buat dua beregu negara apabila gandingan campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya menempah slot ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, manakala pasangan wanita, Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir dalam aksi Kumpulan A, sebentar tadi.

Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan masalah untuk menumpaskan gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-17, 21-18 dalam masa 50 minit di Pusat Gimnasium Olimpik Hangzhou, pagi tadi.

Kemenangan itu turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei berjaya melunaskan dendam mereka ke atas beregu terbabit selepas tewas ketika aksi pusingan kedua Terbuka China, pada September.

“Sebenarnya, kami sebelum ini sudah bertemu dengan mereka sekali dan tewas. Kami sememangnya mahu menang ke atas mereka di peringkat ini. Keinginan kami sangat tinggi untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Semasa pertemuan sulung di China, lutut saya mengalami kecederaan dan kami tidak memikirkannya. Sekarang kami dalam tahap terbaik untuk menentang mereka,” kata Tang Jie kepada BWF selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, pasangan No. 8 dunia itu membuka kempen Jelajah Dunia Akhir selepas mencatat kemenangan ke atas rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Dengan dua kemenangan yang dihasilkan, Tang Jie-Ee Wei sudah menjaminkan di kedudukan dua teratas Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir kejohanan terakhir musim ini.

PEARLY Tan-M. Thinaah tersingkir dari Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut. – AFP

Dalam pada itu, Pearly-Thinaah terpaksa akur apabila tersingkir daripada kejohanan itu selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan A, sebentar tadi.

“Saya rasa mereka bermain agak agresif dan pukulan mereka sememangnya memberi tekanan kepada kami. Saya rasa mereka lebih dominan di dalam gelanggang dan itu memakan diri kami.

“Saya rasa kecewa kerana kami menaruh harapan besar untuk melepasi peringkat kumpulan. Bagaimanapun, ini satu pengajaran buat kami yang harus kami tingkatkan,” kata Thinaah.

Pearly-Thinaah dijadualkan menentang beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, esok bagi melengkapkan aksi kumpukan A.

GOH Soon Huat-Shevon Lai mencatat kemenangan pertama ke atas pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China. – AFP

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai kembali menghidupkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir selepas menumbangkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-14, 21-14 dalam tempoh 35 minit.

Pasangan profesional itu bakal berdepan misi wajib menang pada aksi terakhir kumpulan menentang pasangan Dejan-Gloria bagi pertemuan empat terakhir.

“Kami sangat berpuas hati dengan permainan hari ini. Saya rasa kami bermain dengan penuh kesabaran berbanding semalam dan mampu menterjemahkan dalam gelanggang. Kami berjaya mengawal mental dan mengawal ia dengan baik,” kata Shevon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya