DAMSYIK : Pasukan pejuang Syria yang kini menguasai ibu negara, Damsyik melantik Mohammad al-Bashir sebagai Perdana Menteri sementara bagi mengetuai Kerajaan Peralihan sehingga 1 Mac depan, lapor media rasmi.
Bashir dilahirkan pada 1983 di Jabal al Zawiya berhampiran Kota Idlib, dan beliau merupakan lulusan dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Aleppo serta Undang-Undang Islam dan Sivil dari Universiti Idlib.
Sebelum pelantikan tersebut, Bashir pernah mengetuai Kerajaan Penyelamat di barat laut Syria dan memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan kerajaan berkenaan,sebelum itu.
Menurut sumber dalaman Jabatan Hal Ehwal Politik Kerajaan Penyelamat kepada AFP, Bashir diamanahkan untuk mengetuai kerajaan peralihan tersebut.
Kerajaan Penyelamat yang ditubuhkan pada 2017 di kubu pejuang di Idlib dilengkapi dengan kementerian, jabatan, serta pihak berkuasa kehakiman dan keselamatan untuk membantu rakyat di kawasan yang terputus daripada perkhidmatan kerajaan.
Sejak itu, badan berkenaan telah memperluaskan perkhidmatannya ke Aleppo, bandar utama pertama yang jatuh ke tangan pejuang selepas serangan besar-besaran dilancarkan
Ahad lalu, pejuang yang diketuai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), melancarkan serangan kilat dan berjaya menawan Damsyik, sekali gus menumbangkan Presiden, Bashar al-Assad yang melarikan diri ke Russia.
“Kami diberi amanah oleh komando tertinggi untuk mengetuai kerajaan peralihan ini sehingga 1 Mac depan,” menurut kenyataan yang disampaikan Bashir melalui akaun Telegram televisyen rasmi negara, yang turut merujuk beliau sebagai Perdana Menteri sementara Syria baharu.-AGENSI