PETALING JAYA: Skuad hoki remaja wanita masih mempunyai talian hayat untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2025 di Chile apabila dijadual menentang Hong Kong dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan Piala Remaja Asia, hari ini.
Piala Remaja Asia menawarkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2025 kepada lima pasukan terbaik dengan empat negara sudah mengesahkan slot mereka iaitu China, India, Jepun dan Korea Selatan.
Young Tigress berdepan misi wajib menang ke atas Hong Kong dan sekiranya berjaya mereka dijadual menentang Taiwan atau pun Thailand dalam aksi penentuan tempat kelima pada Ahad ini.
Menyedari hakikat tersebut, jurulatih skuad remaja wanita negara, Lailin Abu Hassan kekal tenang malah optimis skuad bimbingannya itu mampu menewaskan anak-anak buah Tsoanelo Pholo di Stadium Hoki Oman, Muscat.
“Untuk perlawanan menentang Hong Kong, saya pasti pemain akan lebih fokus dan saya telah merancang beberapa strategi untuk memberikan kemenangan penuh kepada pasukan kita pada Sabtu ini,” katanya.
Terdahulu, Young Tigress tewas 4-0 kepada China dalam aksi terakhir Kumpulan A dan mengulas lanjut, Lailin mengakui walaupun tewas namun pasukannya menunjukkan aksi positif berbanding ketika membelasah Bangladesh 6-1 pada aksi ketiga kumpulan, Rabu lalu.
“China merupakan pasukan yang kuat dalam pasukan kita, walaupun tewas 4-0 saya dapat lihat pemain telah menunjukkan satu prestasi yang baik berbanding ketika menentang Bangladesh. Jadi, saya berharap mereka lebih fokus untuk perlawanan tempat kelima hingga kelapan,” katanya.
Pada aksi tersebut, penjaga gol wanita negara, Nur Hazlinda Zainal Abidin menerima Anugerah Bintang Meningkat selepas berusaha bertungkus-lumus menjaga pintu gol pasukan.
“Haslinda kita dapat lihat dia menunjukkan prestasi yang membanggakan di mana dia telah banyak membantu pasukan bertahan
terutamanya apabila China dapat pukulan sudut penalti.
“Jadi, kita dapat lihat bagaimana dia menunjukkan kebolehan sebenar dia sebagai penjaga gol dan layaklah dia menerima anugerah yang diberikan,” kata Lailin.-UTUSAN