KABUL: Menteri Hal Ehwal Pelarian Afghanistan, Khalil Ur-Rahman Haqqani terbunuh dalam serangan bom berani mati di pejabat kementerian berkenaan di Kabul semalam, menurut sumber kerajaan.
Serangan turut mengorbankan beberapa pegawai kementerian lain, dengan kumpulan pengganas Daesh mendakwa bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
Pihak berkuasa Taliban menyifatkan serangan itu sebagai satu tindakan pengecut, dengan Jurucakap Kerajaan, Zabihullah Mujahid menggelar Khalil Ur-Rahman sebagai ‘pejuang hebat’ yang gugur sebagai syahid.
Serangan itu juga dilaporkan menjadi insiden pertama mensasarkan seorang menteri sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 2021.
Menurut seorang pegawai kerajaan, letupan tersebut berpunca daripada seorang pengebom berani mati yang meletupkan bom selepas berjaya ‘menceroboh sekatan keselamatan’ di dalam ibu pejabat kementerian, seperti yang dilaporkan agensi berita Amaq milik Daesh.
Taliban turut menutup jalan menuju ke kawasan kementerian, sementara anggota keselamatan ditempatkan di bumbung bangunan sekitar.
Menerusi satu kenyataan di akaun rasmi kementerian di platform X, beberapa bengkel latihan dilaporkan diadakan di premis tersebut sebelum kejadian.
Koridor kementerian itu juga sering dipenuhi penduduk tempatan yang hadir untuk mendapatkan bantuan atau menyelesaikan kes pemindahan semula pelarian.
Khalil Ur-Rahman Haqqani, 58, yang sering dilihat membawa senjata automatik, merupakan adik kepada pengasas rangkaian Haqqani, Jalaluddin Haqqani dan bapa saudara kepada Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Sirajuddin Haqqani.
Rangkaian Haqqani terkenal sebagai dalang serangan ganas sepanjang dua dekad pemberontakan Taliban.
Keluarga Haqqani dilaporkan terlibat dalam perebutan pengaruh dalam kalangan pihak berkuasa Taliban, dengan dikatakan mewakili fraksi pragmatik berbanding penyokong tafsiran ketat undang-undang Islam yang dikuasai pemimpin tertinggi Taliban di Kandahar. -AGENSI