HAWAII: Satu bangkai mayat ditemukan dalam ruang roda sebuah pesawat United Airlines sebaik mendarat di Pulau Maui, Hawaii, menurut kenyataan syarikat penerbangan tersebut.
Mayat berkenaan ditemukan di salah satu ruang yang menempatkan peralatan pendaratan pesawat selepas Penerbangan United 202 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O’Hare mendarat di Lapangan Terbang Kahului pada Selasa petang.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai identiti atau butiran si mati didedahkan.
“Ruang roda tersebut hanya boleh diakses dari bahagian luar pesawat. Buat masa ini, belum jelas bagaimana atau bila individu itu memasuki ruang roda tersebut,” menurut kenyataan United Airlines.
United Airlines memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat insiden tersebut.
Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) belum memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara ini.
Penumpang yang menyelinap masuk ke ruang roda pesawat berdepan risiko suhu ekstrem antara -50 hingga -60 darjah Celsius serta kekurangan oksigen akibat tekanan udara rendah.
Walaupun kadar kematian bagi penumpang di ruang roda adalah tinggi, terdapat kes-kes di mana terdapat segelintir individu berjaya bertahan.
Tahun lalu, seorang lelaki ditemukan masih hidup di ruang bawah pesawat sebuah syarikat penerbangan Algeria yang mendarat di Paris.
Pada Januari 2022, seorang lagi penumpang ditemukan hidup di bahagian roda hadapan pesawat kargo Cargolux yang tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam dari Afrika.-AGENSI