PETALING JAYA: Peletakan jawatan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen memberi seribu satu persoalan siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab terbabit.
Kalau hendak diikutkan terdapat beberapa nama besar yang menjadi calon Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan peletakan jawatan mereka baru-baru ini.
Salah seorangnya adalah bekas legenda jurulatih beregu lelaki dari Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) Herry Iman Pierngadi yang berundur dari badan induk berkenaan selepas badan induk itu melakukan rombakan struktur kejurulatihan, baru-baru ini.
Herry atau lebih dikenali sebagai Herry IP bertanggungjawab melahirkan beberapa juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido.
Selain mereka, beliau turut melatih Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sehingga berjaya merangkul gelaran All England dan menduduki selaku No. 1 dunia.
Sementara itu, BAM turut menagih sentuhan seorang lagi insans dari Eropah apabila Mathias Boe difahamkan akan menjadi sasaran mereka selepas Bin Shen meninggalkan kem pada 13 Januari depan.
Jurulatih kelahiran Denmark itu sebelum ini, mengumumkan persaraannya sebagai jurulatih Persatuan Badminton India (BAI) selepas Olimpik Paris 2024 dan telah melahirkan beregu No. 1 dunia Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.
Bagaimanapun, keputusan BAM untuk membawa seorang lagi jurulatih dari Eropah tidak mudah apabila mereka sudah melantik Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang akan memulakan tugas pada 4 Januari depan.-UTUSAN