PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu, Peter Cklamovski hanya mempunyai masa kurang daripada tiga bulan untuk mempersiapkan Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang di jadual bermula pada Mac tahun depan.
Selain berdepan kesuntukan masa, pengendali dari Australia itu perlu mendapatkan kerjasama dengan baik daripada semua kelab untuk melepaskan pemain mereka menyertai kem latihan bagi menghadapi kejohanan tersebut.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus percaya dengan pengalaman yang dimiliki oleh Cklamovski menjadi kelebihan buat dirinya bagaimanapun jika dia tidak mendapatkan barisan pemain berkualiti pasti menyulitkan perancangannya dalam kelayakan Piala Asia 2027.
“Saya positif dengan pengalaman yang dimilikinya kerana ia sangat mengagumkan dan semestinya saya sangat berharap sesuatu yang positif. Bagaimanapun, cabaran yang perlu dihadapi Cklamovski adalah pemilihan pemain.
“Sekiranya dia tidak dapat pemain terbaik seperti mana yang berlaku pada jurulatih Pau Marti Vicente dalam Piala ASEAN 2024 saya fikir susah untuk dia melakukan tugasnya dengan baik.
“Jadi, untuk mengelakkan sebarang masalah, dia perlu mendapatkan kerjasama dengan baik daripada semua kelab kerana dia tidak mempunyai banyak masa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Cklamovski akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Januari dan Harimau Malaya di jadual memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac depan.
Fauzi yang pernah membimbing PDRM FC turut mengakui Cklamovski tidak mempunyai jangka masa tetap untuk meletakkan skuad kebangsaan berada dalam ranking ke-100 terbaik.
“Dia kena berinteraksi dengan baik bersama FAM untuk mendapatkan peluang bermain dalam aksi persahabatan kelas A. Kena banyakkan perlawanan persahabatan kelas A untuk melonjakkan ranking.
“Jadi, untuk menaikkan ranking ke-100 terbaik dunia dalam sesuatu tempoh, bagi saya ia subjektif,” katanya.-UTUSAN