MAPUTO: Angka korban akibat Taufan Chido di utara Mozambique, meningkat 94 orang dengan usaha penilaian kerosakan masih diteruskan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Penasihat Institut Pengurusan Bencana Negara Mozambique, Antonio Bonifacio memaklumkan kebanyakan kematian berlaku di wilayah Cabo Delgado, dengan 84 mangsa terkorban dan 740 lagi cedera.
“Di wilayah Nampula, tujuh kematian dan 24 kecederaan dilaporkan, manakala di wilayah Niassa, tiga kematian dan empat kecederaan direkodkan,” katanya kepada agensi berita EFE.
Bonifacio menyifatkan impak taufan itu sebagai ‘amat dahsyat’, dengan sekitar 622,000 orang terjejas di lima wilayah utara negara itu.
Taufan Chido yang membawa angin berkelajuan 260 kilometer sejam dan hujan lebat 250 milimeter dalam tempoh 24 jam, menyebabkan kemusnahan besar-besaran di Mozambique.
Menurut angka rasmi, taufan itu memusnahkan sekurang-kurangnya 140,628 rumah, 52 pusat perubatan, dan 250 sekolah.
Presiden Mozambique, Filipe Nyusi mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari bermula Jumaat lalu.
Beliau menegaskan pemulihan perkhidmatan awam penting seperti bekalan elektrik, air dan komunikasi yang menjadi keutamaan kerajaan.
Selepas melanda Mozambique, Taufan Chido turut mengganas di Malawi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 nyawa.
Rantau selatan-timur Afrika sering dilanda musim ribut tropika antara Oktober hingga April setiap tahun, yang membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Antara Februari hingga Mac 2023, Taufan Freddy yang mencatat rekod sebagai taufan terpanjang dalam sejarah, telah meragut lebih 1,200 nyawa di Malawi dan hampir 200 di Mozambique, selain menjejaskan lebih 1.7 juta penduduk di rantau tersebut.-AGENSI