KUALA TERENGGANU: Seramai 39,865 mangsa banjir daripada 10,703 keluarga masih berada di 271 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu setakat pukul 8 pagi ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan, jumlah itu mencatatkan sedikit penurunan berbanding lebih 42,000 mangsa yang direkodkan semalam.
Katanya, situasi banjir di kebanyakan daerah bertambah baik susulan trend penurunan air di beberapa sungai utama ketika ini.
“Besut masih merekodkan mangsa tertinggi iaitu 10,465 orang daripada 2,851 keluarga di 92 PPS diikuti Dungun iaitu 9,233 orang daripada 2,301 keluarga di 44 PPS.
“Di Hulu Terengganu pula, mangsa berkurangan kepada 6,852 orang daripada 2,104 keluarga di 56 PPS manakala di Kuala Nerus, seramai 4,683 orang daripada 1,194 keluarga dipindahkan ke 14 PPS ketika ini,” katanya hari ini.
Di Kuala Terengganu pula, sebanyak 12 PPS disediakan untuk menempatkan 4,115 mangsa daripada 1,039 keluarga manakala di Setiu, sebanyak 33 PPS disediakan untuk 2,454 mangsa daripada 675 keluarga pagi ini.
Katanya, situasi di Kemaman juga bertambah baik dengan 10 PPS masih beroperasi untuk 1,102 mangsa daripada 288 keluarga.
“Di Marang pula, hanya 961 mangsa daripada 251 keluarga masih berada di 10 PPS ketika ini,” katanya.
Cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu diramal baik pagi ini dan lebih ramai mangsa akan dibenarkan pulang sekiranya persekitaran rumah mereka sudah surut dan selamat untuk diduduki. – UTUSAN