Macron umum Kabinet baharu kali keempat - Utusan Malaysia

Macron umum Kabinet baharu kali keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan pembentukan kerajaan baharu yang diketuai Francois Bayrou, selaku Perdana Menteri keempatnya sepanjang tahun ini. 

Pengumuman pada Isnin lalu, adalah usaha yang dilakukan untuk mengeluarkan ekonomi kedua terbesar Kesatuan Eropah daripada krisis politik.

Bayrou, seorang tokoh centrist, mengetuai Kabinet baharu yang turut menyaksikan beberapa pelantikan besar, termasuk bekas Perdana Menteri, Elisabeth Borne sebagai Menteri Pendidikan, berdasarkan kenyataan Istana Presiden.

Bekas Perdana Menteri lain, Manuel Valls, kembali sebagai Menteri Wilayah Luar Negara, manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, dilantik sebagai Menteri Kehakiman.

Menteri Pertahanan, Sebastien Lecornu dan Menteri Luar, Jean-Noel Barrot mengekalkan jawatan masing-masing.

Bruno Retailleau, seorang menteri konservatif yang berikrar untuk bertindak tegas terhadap imigran haram, terus berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri.

Tugas sukar untuk menyampaikan rancangan bajet tahun depan kini terletak di bahu Eric Lombard, yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi.

Penyertaan dua bekas Perdana Menteri dalam Kabinet baharu ini menunjukkan keinginan Macron untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berpengaruh, berbeza dengan nasib pendahulu Bayrou, Michel Barnier, yang tidak mampu bertahan lama.

Keutamaan utama Bayrou, 73, adalah memastikan kerajaannya mampu bertahan dalam undi tidak percaya di Parlimen serta meluluskan bajet penjimatan kos bagi 2025.

Kembalinya Manuel Valls, yang pernah menjadi perdana menteri dari 2014 hingga 2016, sebagai Menteri Wilayah Luar Negara menunjukkan pentingnya portfolio tersebut.

Ini berikutan kritikan keras mengenai respons kerajaan terhadap Taufan Chido yang mengorbankan sekurang-kurangnya 35 nyawa di Mayotte, wilayah termiskin Perancis di Lautan Hindi.

Gerald Darmanin, yang sebelum ini berhasrat untuk menjadi Menteri Luar, terpaksa berpuas hati dengan portfolio Kementerian Kehakiman selepas beberapa hari rundingan sengit.

Pengumuman Kabinet baharu ini dibuat ketika Perancis mengadakan hari berkabung bagi mengenang mangsa taufan di Mayotte.

Perancis berada dalam kebuntuan politik sejak Macron mengambil risiko mengadakan pilihan raya mengejut musim panas lalu, dengan harapan dapat mengukuhkan kuasanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya