THE HAGUE: Sekurang-kurangnya lima orang terkorban, dan empat yang lain cedera selepas siri letupan menggegarkan sebuah blok pangsapuri di The Hague, Belanda, awal pagi Sabtu.
Menurut pihak berkuasa, insiden yang berlaku di kawasan Tarwekamp pada pukul 6.15 pagi (waktu tempatan) itu turut menyebabkan beberapa kediaman di bangunan tiga tingkat tersebut runtuh.
Datuk Bandar The Hague, Jan van Zanen memaklumkan jumlah mangsa yang masih hilang belum dapat dipastikan, namun dia memberi amaran peluang untuk menemukan mangsa terselamat adalah tipis.
“Kami perlu bersedia untuk menghadapi senario terburuk,” katanya sambil menambah angka sebenar penghuni di kediaman tersebut pada waktu kejadian tidak dapat disahkan.
Sementara itu, pihak polis Belanda sedang menyiasat punca letupan yang belum diketahui.
Difahamkan, sebuah kereta dilaporkan meninggalkan kawasan kejadian dengan memecut laju selepas letupan berlaku, dan polis memohon saksi agar tampil memberikan maklumat.
Pasukan bomba mengesahkan lima mangsa terkorban, sementara media tempatan melaporkan lima unit pangsapuri musnah sepenuhnya dalam insiden itu.
Pesuruhjaya Polis Nasional Belanda, Janny Knol berkata, komuniti setempat kini dilanda ‘ketidakpercayaan dan ketidaktentuan’ akibat tragedi itu.
Dalam pada itu, Raja Belanda, Willem-Alexander dan Permaisuri Máxima turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas.
“Kami bersimpati dengan semua yang terkesan secara peribadi atau yang bimbang akan nasib orang tersayang mereka,” menurut kenyataan baginda berdua. -AGENSI