PETALING JAYA: Bekas pemain badminton kebangsaan, Liew Daren, bersama bekas penganalisis prestasi Institut Sukan Negara (ISN), Jerry Gan Wye Leong, telah dikenakan tindakan penggantungan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas terbabit dalam skandal pertaruhan melibatkan perlawanan badminton.
Kedua-dua individu tersebut dikenal pasti terlibat dalam pertaruhan perlawanan badminton seperti Terbuka Thailand dan Terbuka Swiss apda 2021, berdasarkan bukti kukuh yang diperoleh melalui semakan akaun bank dan mesej komunikasi mereka.
Menurut Panel Pendengaran Bebas (IHP) yang dipengerusikan oleh James Kitching bersama ahli panel Sylvia Schenk dan Vincent Denonville, aktiviti pertaruhan itu dipercayai berlangsung dari tahun 2018 hingga 2021.
“Liew Daren melanggar Artikel 3.1.2 Kod BWF berkaitan Pencegahan Manipulasi Pertandingan, selain Artikel 14.2 Prosedur Kehakiman BWF sebanyak dua kali.
“Manakala Jerry Gan Wye Leong didapati melanggar Artikel 3.1.2 dan Artikel 3.5.2 Kod BWF,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh BWF, hari ini.
Akibat pelanggaran tersebut, Liew Daren digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan badminton, sementara Jerry Gan dikenakan penggantungan selama 3 bulan dan dilarang terlibat dalam mana-mana aktiviti badminton.
Keputusan ini dibuat selepas sesi pendengaran yang diadakan pada 6 hingga 7 Jun 2024 dan dimuktamadkan pada 15 November 2024.
BWF turut memaklumkan bahawa kedua-dua mereka berhak mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari selepas keputusan diumumkan. – UTUSAN