HULU TERENGGANU: Banjir yang melanda Kampung Padang Setebu, di sini minggu lalu mengakibatkan lebih 30 penduduk terpaksa menyelamatkan diri ke atas bukit dan menumpang di rumah orang.
Seorang mangsa, Mastura Abu Bakar, 41, berkata, daripada keseluruhan 15 rumah di sekitar kawasan itu, hanya tiga atau empat buah tidak dilanda banjir akibat kepala air pada petang 29 November lalu.
Katanya, walaupun banjir pernah berlaku di kampung itu, namun tidak melibatkan perpindahan kerana keadaan masih selamat selain paras air cepat surut.
“Kali ini situasi berbeza, sekampung tenggelam banjir. Hanya rumah yang berada atas kawasan bukit terselamat. Air pula naik mendadak.
“Kami di sini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dan perlu ke Kampung Pasir Dula yang turut dilanda banjir. Perjalanan ke sana juga begitu berisiko kerana arus deras serta agak jauh.
“Mujurlah ada kawasan berbukit di kampung ini, tempat kami lari selamatkan diri. Tuan rumah, Mohd. Hanafiah Omar, 71, benarkan saya bersama lebih 30 penduduk menumpang di rumahnya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Hanafiah berkata, dia tidak keberatan memberi pertolongan kepada penduduk terjejas banjir kerana mereka semua tinggal sekampung.
“Kampung ini kecil sahaja, hubungan kami semua seperti satu keluarga. Kali ini banjir teruk berlaku, rumah saya terselamat kerana kedudukan atas bukit, jadi apa salahnya benarkan mangsa banjir menumpang sementara di rumah,” katanya. – UTUSAN