Kumpulan bersenjata bakar hospital di Haiti - Utusan Malaysia

Kumpulan bersenjata bakar hospital di Haiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT-AU-PRINCE: Sebuah hospital di ibu negara Haiti, Port-au-Prince, menjadi sasaran serangan kumpulan bersenjata yang turut membakar dan memusnahkan sebahagian besar kemudahan hospital tersebut, lapor pengarah hospital berkenaan kepada Reuters, semalam.

Serangan terhadap Hospital Bernard Mevs yang berlaku pada malam Isnin itu, mengakibatkan empat bilik pembedahan dan semua peralatan makmal musnah, menurut pengarah hospital tersebut yang enggan dikenali.

Bagaimanapun, tiada pesakit atau kakitangan hospital yang cedera dalam serangan tersebut kerana hospital itu telah dikosongkan terlebih dahulu berikutan ancaman yang diterima daripada seorang ketua kumpulan geng tempatan.

Situasi itu menambah tekanan terhadap sistem kesihatan Haiti yang kini berada di ambang keruntuhan, seperti yang dilaporkan oleh agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), awal tahun ini.

Agensi itu turut memberi amaran mengenai keganasan yang semakin meningkat di negara tersebut terus mengancam keselamatan doktor dan perkhidmatan perubatan.

Bulan lalu, kumpulan bantuan antarabangsa, Doctors Without Borders, terpaksa menghentikan operasi di Port-au-Prince selepas salah satu ambulans mereka diserang dan kakitangannya menerima ancaman serta gangguan daripada pihak polis.

Operasi organisasi itu hanya disambung semula secara separa, minggu lalu.

Dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui platform pesanan WhatsApp, pihak hospital mengesahkan telah menjadi mangsa serangan tersebut.

Kerajaan Haiti, yang bergelut dengan perpecahan politik dalaman, gagal membendung kuasa kumpulan bersenjata yang semakin menguasai kawasan sekitar ibu negara.

Keganasan yang semakin meruncing ini terus memburukkan lagi keadaan di negara tersebut, meninggalkan kesan besar terhadap sistem kesihatan dan kehidupan rakyat Haiti.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya