Kubur besar sembunyikan 100,000 mayat di Damsyik

Kubur besar sembunyikan 100,000 mayat di Damsyik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK : Sebuah kubur besar yang ditemukan di Damsyik menempatkan kira-kira 100,000 mayat yang dibunuh semasa pentadbiran Kerajaan bekas Presiden, Bashar al-Assad.

Ketua Pertubuhan Advokasi Syria berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Mouaz Moustafa, menerusi temu bual telefon dengan Reuters dari Damsyik berkata, lokasi tersebut terletak di al-Qutayfah, kira-kira 40 kilometer di utara ibu negara Syria.  

Jelasnya, lokasi itu adalah satu dari lima lokasi kubur besar yang telah dikenal pasti selama ini.

“Anggaran 100,000 mayat itu adalah paling konservatif, dan ia adalah anggaran yang terlalu rendah jika dilihat dari realiti sebenar,” kata Moustafa yang merupakan Ketua Pasukan Tugas Kecemasan Syria.

Tambah beliau, terdapat lebih banyak kubur besar selain lima lokasi yang dikenal pasti dan menyatakan mangsa bukan hanya rakyat Syria, tetapi turut melibatkan warga AS, Britain dan rakyat asing lain.

Sejak 2011, ratusan ribu rakyat Syria dilaporkan terbunuh apabila tindakan kejam rejim Bashar terhadap protes antikerajaan bertukar menjadi perang saudara. 

Rejim Bashar dan bapanya, Hafez al-Assad yang memerintah sebelum itu sehingga kematiannya pada 2000, dituduh melakukan pembunuhan secara meluas, termasuk hukuman mati beramai-ramai di penjara terkenal Syria.

Bashar berkali-kali menafikan dakwaan Kerajaannya melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan mendakwa pengkritiknya sebagai ekstremis.

Menurut Moustafa, pihak risikan tentera udara Syria bertanggungjawab menguruskan mayat-mayat yang dibawa dari hospital tentera, selepas mangsa diseksa sehingga mati. 

Mayat tersebut kemudian dihantar ke cawangan risikan lain sebelum dibawa ke lokasi kubur besar.

“Mayat-mayat juga diangkut oleh kakitangan pejabat pengebumian perbandaran Damsyik yang membantu memunggah mayat dari trak berpendingin hawa,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mendapatkan keterangan daripada individu yang bekerja di kubur besar tersebut, termasuk pemandu jentolak. 

Pemandu itu dipaksa menggali lubang besar dan diarahkan untuk menekan mayat-mayat ke dalam lubang supaya muat sebelum menimbusnya dengan tanah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya