MOSCOW: Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan isteri kepada bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, tidak pernah bercadang untuk bercerai dengan suaminya.
Kenyataan itu dibuat selepas laporan media Turkiye mendakwa Asma al-Assad mahu memutuskan ikatan perkahwinannya dan meninggalkan Russia, tempat dia dan suaminya mendapat perlindungan politik selepas digulingkan di negara sendiri.
“Tidak, laporan itu tidak benar,” tegas Peskov ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar.
Peskov juga menafikan dakwaan Bashar dikenakan sekatan harta benda dan dilarang meninggalkan Moscow.
Media Turkiye pada Ahad mendakwa keluarga Bashar hidup dalam sekatan ketat di ibu negara Russia, sementara Asma dilaporkan telah memfailkan penceraian dan ingin kembali ke London.
Bagaimanapun, Menteri Luar Britain, David Lammy, sebelum ini menegaskan Asma, yang memiliki kewarganegaraan dwinegara Syria-Britain, tidak dibenarkan pulang ke UK.
“Saya mahu mengesahkan dia adalah individu yang disenarai hitam dan tidak dialu-alukan di UK,” katanya dalam sidang parlimen bulan ini.
Beliau turut menegaskan akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan tiada ahli keluarga Bashar dapat menetap di Britain.
Asma, 49, dilahirkan di London pada 1975 oleh pasangan ibu bapa berketurunan Syria dan dibesarkan di Acton, barat London.
Beliau berpindah ke Syria pada usia 25 tahun pada 2000 dan berkahwin dengan Bashar, hanya beberapa bulan selepas Bashar menggantikan bapanya sebagai Presiden.
Asma dikritik hebat kerana berdiam diri ketika suaminya didakwa menggunakan kekerasan terhadap rakyat, termasuk penggunaan senjata kimia terhadap orang awam semasa perang saudara Syria, yang mengorbankan sekitar 500,000 nyawa.-AGENSI