KPDN bongkar sindiket proses arak tiruan bernilai lebih RM1 juta

KPDN bongkar sindiket proses arak tiruan bernilai lebih RM1 juta

MOHD. Suffian Mohd. Abass (tengah) menunjukkan sebahagian daripada arak tiruan yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang lama di Jalan Permatang Batu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya membongkar satu sindiket memproses arak tiruan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang lama di Jalan Permatang Batu di sini, petang semalam.

Serbuan hasil risikan dan maklumat awam itu dibuat susulan kejayaan mematahkan sindiket penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi dalam kawasan gudang yang sama iaitu pada sebelah pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, ketika serbuan kedua dijalankan, pihaknya menjumpai sebuah kontena dan stor berkunci yang dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sebanyak 16,513 botol arak pelbagai jenama, lima tong ‘barrel’ disyaki bahan asal beralkohol sebanyak 900 liter dan sebuah peralatan iaitu mesin ‘cappin’ atau mesin penutup botol automatik.

Ujar beliau, turut dijumpai ialah sebanyak 26,815 botol kaca kosong, label pelbagai jenama dan kotak pembungkusan dalam kontena berkenaan.

MOHD. Suffian Mohd. Abass (kanan) memeriksa sebahagian daripada arak tiruan yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang lama di Jalan Permatang Batu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA

“Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan ini, namun, kami (KPDN Pulau Pinang) masih berusaha untuk mengenal pasti pemilik serta penyewa stor terbabit sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Mohd. Suffian, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dan dipakai dengan salah.

“Kita percaya stor terbabit digunakan sebagai tempat memproses dan membungkus arak tiruan yang disyaki untuk pasaran tempatan.

“Pada masa yang sama, kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket ini telah beroperasi untuk satu tempoh atau jangka masa tertentu selain menjalankan urus niaga (jual arak) secara ‘online’ (dalam talian),” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya