KYIV: Ukraine memberi amaran Korea Utara mungkin menghantar lebih ramai askar dan peralatan untuk tentera Russia.
Presidennya, Volodymyr Zelensky mendakwa lebih 3,000 askar Korea Utara terbunuh dan cedera dalam pertempuran di wilayah Kursk, Russia.
“Terdapat risiko Korea Utara menghantar tentera tambahan dan peralatan ketenteraan kepada Russia.
“Kami akan memberikan tindak balas yang nyata terhadap perkara ini,” katanya di platform X selepas menerima laporan daripada komander tertinggi tentera, Oleksandr Syrskyi.
Anggaran kerugian Korea Utara lebih tinggi daripada yang dilaporkan oleh Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS), yang mendakwa sekurang-kurangnya 1,100 askar Pyongyang terbunuh atau cedera.
Penilaian itu selaras dengan taklimat minggu lalu oleh agensi perisikan Korea Selatan, yang melaporkan sekitar 100 kematian dan 1,000 lagi cedera di wilayah berkenaan.
Russia tidak mengesahkan atau menafikan kehadiran tentera Korea Utara di pihaknya.
Pada awalnya, Pyongnyang menolak laporan mengenai penempatan tentera sebagai ‘berita palsu’, tetapi seorang pegawai Korea Utara mengesahkan perkara itu.
Menurut penilaian Ukraine dan sekutunya, Korea Utara menghantar sekitar 12,000 tentera ke Russia.
Sebahagian daripada mereka ditempatkan untuk pertempuran di wilayah Kursk, Russia, dengan Ukraine masih menguasai sebahagian tanah selepas serangan rentas sempadan pada Ogos.
JCS mendakwa, pihaknya mengesan petanda Pyongyang merancang untuk menghasilkan dron bunuh diri bagi dihantar ke Russia.
Ia sebagai tambahan kepada pelancar roket berganda 240 milimeter (mm) dan howitzer gerak sendiri 170mm yang dibekalkan sebelum ini.– REUTERS