DAMSYIK: Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menegaskan kestabilan Syria adalah kunci kepada keselamatan Jordan dan rantau Asia Barat.
Jelasnya, Jordan mahu melihat Syria yang stabil, selamat dan menjamin hak rakyatnya melalui proses peralihan yang memenuhi aspirasi rakyat Syria.
“Kami berdiri bersama saudara-saudara Syria dalam proses pembinaan semula negara ini.
“Kami berkongsi sempadan sejauh 375 kilometer dengan Syria. Kami mahu sempadan itu bebas daripada ancaman pengganas, penyeludupan dadah dan senjata,” katanya kepada Al Jazeera.
Safadi mengadakan perbincangan dengan pemimpin de facto Syria, Ahmed al-Sharaa, di Damsyik pada Isnin, ketika pemimpin serantau mula berinteraksi dengan pentadbiran baharu selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, dua minggu lalu.
Lawatan diplomatik berprofil tinggi itu turut disertai Menteri Negara di Kementerian Luar Qatar, Mohammed al-Khulaifi, yang tiba di Damsyik beberapa hari selepas Doha membuka kedutaannya di Syria buat kali pertama sejak 13 tahun lalu.
Kehadiran al-Khulaifi bertujuan untuk menegaskan sokongan teguh Qatar kepada rakyat Syria, kata jurucakapnya, Majed al-Ansari.
Sebelum ini, Jordan menganjurkan sidang kemuncak awal bulan ini, yang dihadiri diplomat dari negara-negara Arab, Turkiye, EU dan AS untuk menyeru peralihan inklusif dan damai selepas lebih sedekad perang saudara.
Sementara itu, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, sehari sebelum itu, menjanjikan bantuan kepada Syria dalam proses peralihan politik dan pembinaan semula negara yang musnah akibat perang.
Fidan dan al-Sharaa menekankan keperluan perpaduan dan kestabilan di Syria sambil menyeru penghapusan semua sekatan antarabangsa terhadap negara itu.-AGENSI