ALOR GAJAH: Jumlah kerugian keseluruhan disebabkan bencana banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur belum dapat dianggarkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama beberapa agensi berkaitan sedang menilai kerugian disebabkan kerosakan harta benda, pertanian, infrastruktur dan sebagainya.
Ujarnya, data berkaitannya belum dapat diumumkan memandangkan situasi banjir terutama di negeri yang terjejas teruk seperti Kelantan dan Terengganu belum pulih.
“Kita tidak ada data lagi setakat ini. Pihak NADMA sedang menilai kerugian-kerugian itu dengan kerjasama jawatankuasa pertanian negara dan juga jawatankuasa pertanian peringkat daerah dan negeri.
“Kita akan umumkan, kita tidak dapat menganggarkan lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup JELITA@KPT Summit 2024 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, negeri-negeri di Pantai Timur diramal mengalami banjir gelombang kedua bermula 8 hingga 14 Disember ini berikutan luruan monsun yang membawa hujan lebat serta angin kencang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) melaporkan, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula semalam sehingga awal pagi 4 Disember.
Tambah Ahmad Zahid, setakat ini tiga institusi berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kelantan didapati terjejas akibat bah.
Ujarnya, institusi berkenaan adalah Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas, Giat Mara Pasir Mas dan Giat Mara Tumpat manakala Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS). – UTUSAN