GEORGE TOWN : Sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz C200 hampir musnah dalam satu kebakaran di Kilometer 18, Jambatan Kedua Pulau Pinang, di sini gara-gara terlanggar bateri lori yang dipercayai terjatuh di tengah-tengah jalan sebelum menaiki jambatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.29 petang ketika kereta tersebut yang dinaiki oleh dua individu dalam perjalanan dari Batu Kawan menuju ke Batu Maung.
Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta terbabit terlanggar satu objek atas jalan di lorong kanan laluan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara iaitu sebelum susur keluar menuju ke jambatan berkenaan yang dipercayai bateri lori.
“Pemandu (kereta) itu bagaimanapun meneruskan pemanduannya sehingga menaiki jambatan dan ketika sampai di Kilometer 18 (atas jambatan), kereta terbabit tiba-tiba berasap sebelum pemandu tersebut bertindak memberhentikan kereta berkenaan serta-merta.
“Kereta itu kemudian mula terbakar, namun, pemandu dan penumpangnya terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Sazalee, kes disiasat mengikut Peraturan 94 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 94 LN 170/59).
Katanya, selain menunggu laporan polis daripada pemandu kereta itu, pihaknya turut mengesan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian selain cuba mendapatkan saksi yang melihat kejadian tersebut untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memberitahu, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kerja-kerja pemadaman dan ‘overhaul’ berjaya dilaksanakan dengan penglibatan 12 anggota termasuk penyelia dari dua buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Bayan Baru dan Batu Kawan sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN