LONDON : Kerajaan Britain mengumumkan peruntukan sebanyak 75 juta pound (RM438 juta) sebagai pampasan kepada veteran tentera lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) yang dipecat kerana orientasi seksual mereka, menurut Kementerian Pertahanan.
Sebelum reformasi pada 2000, golongan LGBTQ dilarang menyertai perkhidmatan ketenteraan di Britain.
Laporan yang ditugaskan kerajaan tahun lalu, mendedahkan mereka sering menjadi mangsa gangguan, penderaan, dan pemecatan.
Bagi memperbetulkan ‘kesalahan sejarah’, bekas anggota tentera atau pekerja yang dipecat atas sebab seksualiti atau identiti jantina mereka layak menerima pampasan sebanyak 50,000 pound (RM292,000) setiap seorang, lebih tinggi daripada jangkaan awal.
“Mereka yang terkesan oleh layanan ini menjadi titik hitam dalam sejarah moral negara kita. Kerajaan bertekad untuk memperbaiki kesilapan lalu dan mengiktiraf penderitaan yang telah dialami ramai pihak,” kata Setiausaha Pertahanan, John Healey.
Selain kehilangan pekerjaan dan dimalukan secara terbuka, ramai veteran yang terlibat turut kehilangan faedah pencen, menyebabkan mereka hidup dalam kemiskinan sehingga ke akhir hayat.
“Kami sepenuhnya mengalu-alukan kembali veteran LGBTQ ke dalam angkatan pertahanan dan mengiktiraf sumbangan penting mereka dalam menjaga keselamatan negara,” kata Menteri Hal Ehwal Veteran, Alistair Carns.
Kerajaan turut menawarkan pampasan tambahan antara 1,000 hingga 20,000 pound (RM5,800 hingga RM116,000) berdasarkan tahap penderitaan individu, termasuk gangguan, soal siasat kasar, atau hukuman penjara.
Mangsa juga boleh memohon pemulihan pangkat ketenteraan dan pingat yang pernah dilucutkan.
Langkah ini dijadualkan dibahaskan di Parlimen pada Khamis, namun veteran yang terkesan boleh mula mengemukakan permohonan pampasan secara dalam talian.-AGENSI