ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menjangka kerugian yang ditanggung akibat banjir menimpa beberapa daerah di sini sejak minggu lepas melebihi daripada kejadian pada September lepas iaitu sebanyak RM12 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerugian itu mengambil kira bantuan wang tunai yang akan disalurkan kepada mangsa termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada kali ini.
“Kerosakan dialami juga melibatkan infrastruktur. Saya difahamkan Sabtu ini ada lawatan Menteri Kewangan Kedua yang akan turun ke Kedah. Kita akan kemukakan apa keperluan kerajaan negeri untuk berikan pemulihan infrastruktur termasuk masjid dan surau.
“Sebuah masjid RM80,000 untuk karpet sahaja. Ada jalan yang rosak, jambatan dan titi selain premis awam yang perlu diperbaiki. Kita akan kemukakan untuk pertimbangan.
“Belum lagi (buat perkiraan kerugian). Air banjir kali ini lambat sikit, Seri Mentaloon baru surut di kawasan luar, dalam rumah ada air lagi. Kali terakhir kita tafsir RM12 juta tetapi yang kali ini kalau kira mungkin lebih,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO di sini hari ini.
Beliau berkata, pada bencana banjir sebelum ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk penyediaan bekalan makanan mangsa banjir di PPS.
“Tiap-tiap kali PPS dibuka, toto kena bagi yang baharu, itu semua kerajaan negeri tanggung. Makan, infrastruktur dan juga bantuan wang tunai saya belum dapat beri angka lagi. Saya rasa lebih kurang banjir lama. Kalau kita ambil kira yang tidak berpindah mungkin lebih,” katanya.
Sehubungan itu, kata Muhammad Sanusi, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan akan mempertimbang bantuan kepada kerajaan negeri selepas Kedah sekali lagi berdepan banjir yang turut memusnahkan pelbagai infrastruktur.
“Saya dengan Kerajaan Persekutuan tiada masalah apa-apa, kalau pasal kempen pilihan raya sebelum ini saya sudah minta maaf berkali-kali termasuk pada jamuan raya pada Mei lalu.
“Sebenarnya, kita ada ikatan dalam Perlembagaan, jadual kesembilan tanggungjawab negeri dan Persekutuan yang bersama. Kalau depa kata, tak boleh tolong Kedah ni pasal mulut capoi (lantang), kena faham tiap-tiap negeri ada cara cakapnya,” katanya. – UTUSAN