PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia bakal dibimbing oleh bekas pemain perseorangan negara, Yeoh Kay Bin.
Pelantikan Kay Bin diumumkan oleh Team LZJ menerusi satu kenyataan yang dibuat di laman media sosial, hari ini.
“Selamat datang ketua jurulatih baharu Team LZJ, Yeoh Kay Bin. Kay Bin, bekas pemain Malaysia memiliki pengalaman kejurulatihan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Beliau menyertai pasukan untuk meneruskan perjuangan Lee Zii Jia ke fasa seterusnya dalam kariernya,” tulis kenyataan itu.
Pelantikan jurulatih berusia 44 tahun itu adalah bagi menggantikan Wong Tat Meng yang akan menamatkan khidmatnya pada 31 Disember ini.
Tat Meng, 57, yang pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan, mula menyertai Team LZJ sejak Julai tahun lalu.
Dia menjadi watak utama membantu Zii Jia kembali ke kedudukan 10 terbaik dunia selain meraih pingat gangsa Olimpik Paris 2024.
Sebagai rekod, Kay Bin merupakan bekas naib juara dunia remaja di Kejohanan Remaja Dunia 1998 di Melbourne dan memenangi pingat gangsa di Kejohanan Asia 2007 di Johor Bahru. – UTUSAN