Manila: Pengawal Pantai China bertindak melepaskan meriam air dan ‘menyentuh sisi’ kapal Kerajaan Filipina semasa rondaan maritim berhampiran Terumbu Scarborough yang dipertikaikan, selepas Beijing menyatakan pihaknya telah ‘mengawal’ kapal tersebut.
Video yang dikeluarkan oleh Manila pada Rabu menunjukkan kapal Pengawal Pantai China melanggar sisi kanan BRP Datu Pagbuaya, sebuah kapal jabatan perikanan Filipina, dengan kru menjerit ‘Pelanggaran! Pelanggaran!”.
Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Commodore Jay Tarriela menjelaskan kapal China ‘melepaskan meriam air’ yang disasarkan kepada antena navigasi kapal.
Beliau menambah kapal China itu kemudian ‘dengan sengaja menyentuh sisi’ kapal Filipina sebelum melancarkan serangan meriam air kedua.
Pengawal Pantai China memberi alasan kononnya kapal-kapal Filipina ‘terlalu hampir’ dan tindakan mereka adalah ‘selaras undang-undang’, walaupun tiada butiran lanjut diberikan.
Jurucakap Pengawal Pantai China, Liu Dejun mendakwa bahawa pada 4 Disember, kapal-kapal Pengawal Pantai Filipina cuba memasuki perairan wilayah China di sekitar Pulau Huangyan (nama China bagi Terumbu Scarborough).
Liu berkata, kapal Filipina ‘terlalu dekat dengan kapal rondaan penguatkuasaan undang-undang biasa Pengawal Pantai China’, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai tindakan yang diambil oleh China.
China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah miliknya, dengan menolak tuntutan negara-negara pesaing, termasuk Filipina dan mengabaikan keputusan antarabangsa yang menyatakan tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang. -AFP