BANGKOK : Kabinet Thailand menolak cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC) untuk menghapuskan hukuman mati.
Jurucakap Timbalan Kerajaan, Kharom Polpornklang berkata, keputusan itu mencerminkan pendirian kerajaan yang selari dengan pandangan badan kehakiman kerana menganggap hukuman mati perlu bagi kesalahan-kesalahan berat tertentu.
NHRC sebelum ini menggesa penghapusan hukuman mati, dengan mengambil kira trend global yang menyifatkan hukuman itu sebagai terlalu keras.
Cadangan tersebut dibentangkan dalam satu seminar sempena Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia.
NHRC mengemukakan pelan empat langkah untuk menghapuskan hukuman itu secara berperingkat.
Langkah pertama melibatkan pengguguran hukuman mati daripada sebarang rang undang-undang baharu.
Langkah kedua mencadangkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada yang mewajibkan hukuman mati sebagai satu-satunya pilihan, dengan memberi ruang kepada mahkamah untuk mempertimbangkan hukuman alternatif.
Langkah ketiga ialah menyemak semula undang-undang yang menetapkan hukuman mati untuk kesalahan yang dianggap tidak sepadan dengan jenayah yang dilakukan.
Akhir sekali, langkah keempat bertujuan menghapuskan hukuman mati sepenuhnya daripada undang-undang Thailand.
“Langkah untuk menghapuskan hukuman mati di Thailand merupakan cabaran besar bagi para pejuang hak asasi manusia,” kata NHRC, sambil menambah sektor awam telah menyatakan kesediaan untuk menyokong rang undang-undang ke arah itu.
Bagaimanapun, penolakan Kabinet menunjukkan keperluan untuk mengimbangi antara mengekalkan ketenteraman awam dan memajukan hak asasi manusia di negara ini.
Keputusan itu juga mencerminkan perdebatan yang berterusan mengenai hukuman mati dan kesukaran untuk menyelaraskan dasar negara dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, lapor Bangkok Post. -AGENSI