PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir menurun kepada 58,389 orang berbanding 65,991 orang dengan melibatkan 17,875 keluarga setakat pukul 4 petang, hari ini.
Berdasarkan Portal Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) memaklumkan, pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif juga telah berkurang kepada 189 PPS berbanding 220 PPS awal pagi tadi.
“Selain itu, Kelantan mencatatkan mangsa tertinggi dengan jumlah 40,143 orang melibatkan 12,938 keluarga dengan 91 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif di empat daerah.
“Terengganu pula mencatatkan 10,870 mangsa melibatkan 2,732 keluarga dengan 41 PPS aktif di enam daerah.
“Kedah mencatatkan 5,838 mangsa melibatkan 1,769 keluarga dengan 27 PPS aktif di tiga daerah manakala Johor mencatatkan 1,029 mangsa melibatkan 292 keluarga dengan 18 PPS aktif di dua daerah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Perak mencatatkan negeri ketiga mangsa terendah iaitu 282 mangsa melibatkan 89 keluarga dengan enam PPS aktif di tiga daerah.
“Melaka pula membabitkan 172 mangsa melibatkan 44 keluarga dengan dua PPS aktif di satu daerah.
“Pahang dengan mangsa terendah iaitu 55 orang melibatkan 11 keluarga dengan empat PPS aktif di dua daerah,” katanya. – UTUSAN