PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu menunaikan Umrah pada 8 hingga 20 Januari depan terlebih dahulu sebelum memberi kata putus untuk bersetuju berada di dalam Program Podium pada tahun depan.
Majlis Sukan Negara (MSN) memberi tarikh akhir kepada Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu sehingga 31 Disember ini untuk berada di Program Podium.
Bagaimanapun, beliau mahu mengaturkan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi perancangannya musim 2025 serta berkenaan keputusannya untuk berada di program terbabit.
“Memang betul. Sepatutnya saya maklum kepada MSN pada penghujung tahun ini. Namun, saya menjangkakan untuk bertemu Hannah terlebih dahulu untuk perbincangan akhir.
“Saya masih menunggu masa untuk berjumpa beliau terlebih dahulu. Kalau sempat sebelum penghujung tahun. Seandainya tidak berkesempatan, selepas saya pulang umrah,” kata Azizulhasni.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Ahmad Arif Astaman berkata, pihaknya dan MSN bersetuju untuk mengekalkan Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan dengan kontrak sedia ada akan tamat hujung bulan ini.
Sementara itu, Azizulhasni turut mengulas berkenaan mengapa MSN dan PKBM masih memilihnya untuk berada di program berkenaan biarpun sudah memberitahu beliau tidak akan berkayuh pada musim 2025.
Menurutnya, MSN dan PKBM berkemungkinan mahu atlet berusia 36 tahun itu bekerja sebagai pelumba ‘backup’ kepada barisan skuad berbasikal trek negara.
“Saya memang tidak ada perancangan untuk berkayuh buat masa ini. Mungkin mereka letak di program podium sebagai backup untuk barisan pelumba yang sedia ada.
“Mereka mungkin membuat langkah berjaga-jaga sekiranya barisan pelumba sekarang kurang bersedia dan mereka memerlukan saya untuk kejohanan utama,” kata Azizulhasni.-UTUSAN