KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa situasi jangkitan Covid-19 dan Influenza di negara ini masih berada dalam keadaan yang terkawal.
Kementerian itu berkata, setakat ini tiada peningkatkan kes berkaitan dua virus itu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.
Menurutnya, laporan untuk Minggu Epidemiologi (ME) 51/2024 yang meliputi tempoh 15 hingga 21 Disember 2024, sebanyak 1,477 kes Covid-19 dilaporkan dan ia menunjukkan penurunan 14.23 peratus berbanding 1,722 kes pada ME 50/2024.
Jelasnya, pengisian katil bukan kritikal juga menurun daripada 0.16 peratus kepada 0.13 peratus manakala pengisian katil ICU turun daripada 0.14 peratus kepada 0.10 peratus bagi Covid-19.
“Sejak 25 April 2024, tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan, dengan jumlah kematian kumulatif kekal pada 58 kes.
“Selain itu, kementerian memaklumkan bahawa tiada kes varian baharu SARS-CoV-2 dikesan di Malaysia. Varian Omicron dan subvariannya masih menjadi varian utama yang sedang menular di negara ini,” katanya di dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, mengenai Influenza, KKM berkata, data daripada survelan makmal menunjukkan bahawa daripada 856 sampel Influenza-like Illness (ILI) yang diambil di klinik kesihatan, 16.24 peratus atau 139 sampel didapati positif Influenza.
Katanya, lapan daripada 67 sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di hospital (11.94 peratus), adalah dikesan positif bagi virus influenza pada ME 50/2024.
“Daripada sampel yang dikesan positif Influenza, 32 peratus adalah terdiri daripada jenis Influenza A, manakala 26 peratus adalah Influenza B.
“Terdapat penurunan berbanding minggu sebelumnya iaitu 152 daripada 827 (18.38 peratus) sampel ILI dan sembilan daripada 68 (13.24 peratus) sampel SARI dikesan positif influenza. Daripada sampel yang positif influenza, 37 peratus adalah terdiri daripada influenza A dan 27 peratus adalah influenza B.
“Walaupun jangkitan influenza tidak wajib untuk dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, peningkatan kes Covid-19 dan influenza di Malaysia pada hujung tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti Jepun.
“Oleh itu, pihak berkuasa di negara-negara berkenaan biasanya menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin influenza pada setiap kitaran musim.
“Walaupun Malaysia beriklim tropika, sempadan negara kini dibuka seperti biasa untuk perjalanan keluar dan masuk dari pelbagai negara, termasuk negara-negara bermusim sejuk.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitan atau penularannya kepada orang lain semasa perjumpaan ketika musim perayaan,” jelasnya.