JAKARTA : Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) menghormati keputusan yang dibuat oleh Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah untuk melepaskan jawatan sebagai Utusan Khas (Bidang Kerukunan Beragama) dalam Kabinet Presiden, Prabowo Subianto.
Ketua Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Ahmad Fahrur Rozi menyifatkan keputusan itu sebagai langkah bertanggungjawab dan berjiwa besar.
“Itu hak beliau (untuk berundur) dan kita hormati sebagai satu sikap yang bertanggungjawab.
“Meskipun sebenarnya ia hanyalah satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan, tetapi keberanian beliau untuk mengundurkan diri secara terhormat mencerminkan kemuliaan jiwa,” ujarnya.
Gus Miftah menjadi tumpuan selepas tindakannya menghina seorang penjual minuman teh ais dalam satu majlis ceramah agama mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial.
Ahmad Fahrur berkata, dalam menyampaikan dakwah, kelembutan dan adab perlu sentiasa dijadikan pedoman, sebagaimana diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBNU, Imron Rosyadi Hamid turut menyokong keputusan Gus Miftah untuk berundur.
Langkah itu, katanya, penting bagi menjaga integriti kabinet Prabowo.
“Pengunduran diri Gus Miftah akan mengurangkan tekanan terhadap pihak istana dalam menghadapi kontroversi ini yang telah mendapat perhatian meluas masyarakat,” jelasnya.
Imron turut menekankan kepentingan berhati-hati dalam berkomunikasi, lebih-lebih lagi apabila berada di ruang awam.
Jumaat lalu, Gus Miftah mengumumkan pengundurannya secara rasmi dalam sidang akhbar di Pondok Pesantren Ora Aji, Sleman, Yogyakarta.
Pendakwah kontroversi itu menegaskan keputusan dibuat atas dasar tanggungjawab dan bukan kerana desakan mana-mana pihak, termasuk Prabowo.
“Saya membuat keputusan ini kerana rasa hormat, cinta, dan tanggungjawab mendalam terhadap Presiden, Prabowo Subianto serta seluruh masyarakat Indonesia,” katanya. -AGENSI