Israel serang Yaman, Ketua WHO hampir terperangkap

Israel serang Yaman, Ketua WHO hampir terperangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Israel melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman termasuk di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa,semalam.

Agensi berita Saba yang dikawal Houthi melaporkan tiga orang terbunuh dalam serangan di lapangan terbang dan tiga lagi di Hodeidah, manakala 40 yang lain cedera.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beliau hampir menaiki pesawat di lapangan terbang berkenaan ketika serangan berlaku.

“Ketika kami hendak menaiki penerbangan dari Sanaa, lapangan terbang telah dibedil dari udara. Salah seorang anak kapal kami cedera.

“Menara kawalan trafik udara, ruang berlepas yang hanya beberapa meter dari tempat kami berada dan landasan rosak,” katanya yang memaklumkan dirinya dan rakan-rakannya selamat.

Selain menyerang lapangan terbang, tentera Israel berkata, mereka turut membedil infrastruktur ketenteraan di pelabuhan Hodeidah, Salif dan Ras Kanatib di pantai barat Yaman, manakala stesen janakuasa Hezyaz dan Ras Kanatib turut menjadi sasaran.

Houthi sebelum ini berulang kali melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam temu bual dengan Channel 14 berkata, Israel baru sahaja memulakan kempen menentang Houthi.

Perdana menteri itu mendapat sokongan di dalam negara melalui kempen tentera Israel menentang pasukan Hezbollah yang disokong Iran di selatan Lubnan dan pemusnahan kebanyakan senjata strategik tentera Syria.

Serangan Houthi selama lebih setahun telah mengganggu laluan perkapalan antarabangsa, memaksa syarikat mengubah laluan ke perjalanan yang lebih panjang dan lebih mahal yang seterusnya mencetuskan kebimbangan mengenai inflasi global.

Pada Sabtu, tentera Israel gagal memintas peluru berpandu dari Yaman yang jatuh di kawasan Tel Aviv-Jaffa sehingga mencederakan 14 orang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya