BEIRUT: Tentera Israel melanggar perjanjian gencatan senjata selepas melancarkan serangan udara di Lubnan, Sabtu lalu.
Serangan itu kononnya mendakwa aktiviti Hezbollah ‘mengancam keselamatan’ negara itu, beberapa hari selepas gencatan senjata dicapai antara kedua-dua pihak.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa sejak pukul 4.00 pagi pada 27 November lalu.
Menurut tentera Israel, serangan turut disasarkan ke atas ‘infrastruktur ketenteraan’ di sempadan Syria-Lubnan yang didakwa digunakan Hizbollah untuk menyeludup senjata yang melanggar perjanjian gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini mengumumkan kesediaan menerima gencatan senjata selepas lebih setahun bertempur dengan Hezbollah, namun menegaskan Israel akan mengekalkan ‘kebebasan tindakan ketenteraan sepenuhnya’ jika perjanjian dilanggar.
Tentera Israel memaklumkan empat serangan dilancarkan ke atas kemudahan, senjata dan kenderaan milik Hezbollah di Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun antara tiga mangsa yang cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah kereta di Majdal Zoun.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) mendakwa terdapat ‘pelanggaran berterusan’ oleh Israel terhadap gencatan senjata termasuk kejadian sebuah kereta kebal Israel menghancurkan beberapa kenderaan serta mengepung keluarga yang kemudian diselamatkan Palang Merah Antarabangsa.
Sementara itu, tentera Israel menyatakan serangan turut dilancarkan ke atas lokasi infrastruktur ketenteraan berhampiran lintasan sempadan Syria-Lubnan yang didakwa digunakan Hezbollah untuk menyeludup senjata selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Rejim itu turut menerbangkanpesawat tanpa pemandu (dron) peninjau milik Tentera Udara Israel yang melakukan pengintipan di Beirut.
Dron Israel terbang pada ketinggian sederhana dan rendah hampir sepanjang hari, kelihatan di kawasan kejiranan pusat dan pinggir selatan ibu negara Lubnan.
HENTIKAN KONFLIK
Perjanjian gencatan senjata, yang bertujuan menamatkan konflik rentas sempadan selama lebih setahun serta perang habis-habisan selama dua bulan, mula dilaksanakan pada Rabu lalu.
Sebelum perjanjian itu diluluskan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyampaikan ucapan kepada rakyat, menjelaskan keperluan gencatan senjata di bahagian utara.
Beliau memberi amaran sekiranya Hizbullah melanggar perjanjian terbabit, Israel akan bertindak balas dan meneruskan operasi ketenteraan.
Menurut pelan penyelesaian yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat, dalam tempoh 60 hari akan datang, tentera Lubnan menguasai wilayah di selatan negara itu, manakala pasukan dan infrastruktur Hizbullah mesti dipindahkan ke utara Sungai Litani yang terletak kira-kira 20 hingga 30 kilometer dari sempadan.
Dalam tempoh itu, Israel juga diwajibkan menarik balik sepenuhnya pasukan tentera dari wilayah Lubnan.
Konflik semakin memuncak sejak September lalu, apabila Israel meningkatkan kempen ketenteraan di selatan Lubnan selepas hampir setahun pertempuran rentas sempadan yang dimulakan Hezbollah sebagai tanda sokongan kepada Hamas susulan serangan kumpulan itu ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Sebagai tindak balas, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah meragut 44,382 nyawa, berdasarkan angka oleh Kementerian Kesihatan Gaza. -AGENSI