TEL AVIV: Menteri Pertahanan, Israel Katz secara terbuka mengaku Israel bertanggungjawab membunuh bekas Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, di Teheran awal tahun ini.
Katz malah memberi amaran terhadap kepemimpinan pemberontak Houthi di Yaman juga akan menerima nasib sama.
“Kami akan melancarkan serangan hebat ke atas Houthi dan kepemimpinan mereka, seperti yang kami lakukan terhadap Haniyeh, Yahya Sinwar dan Hassan Nasrallah di Teheran, Gaza, dan Lubnan.
“Perkara sama akan dilakukan di Hodeida dan Sanaa,” kata Katz dalam satu acara di Kementerian Pertahanan.
Kenyataan tersebut merupakan pengakuan pertama Israel secara terbuka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Haniyeh pada hujung Julai lalu, di ibu negara Iran.
“Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel, tangannya akan dipotong, dan lengan panjang IDF (tentera Israel) akan menyerangnya serta membawanya ke muka pengadilan,” kata Katz.
Sebelum ini, Israel tidak pernah mengaku bertanggungjawab atas kematian Haniyeh, namun Iran dan Hamas menyalahkan Israel atas pembunuhan pemimpin politik Hamas itu.
Haniyeh, yang dilihat sebagai perantara utama usaha rundingan gencatan senjata di Gaza, terbunuh pada 31 Julai lalu, dalam sebuah rumah tetamu di Teheran, dipercayai akibat bahan letupan yang dipasang oleh operatif Israel beberapa minggu sebelumnya.
Sehari sebelum insiden itu, Haniyeh menghadiri majlis perasmian pelantikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Pada 27 September pula, Israel membunuh Hassan Nasrallah dalam satu pengeboman di Beirut, diikuti dengan pembunuhan pengganti Haniyeh, Yahya Sinwar, pada 16 Oktober di Gaza.
Israel mendakwa Sinwar merupakan dalang utama serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan perang berterusan di Semenanjung Gaza. -AGENSI