DOHA: Selepas berbulan-bulan kebuntuan, Israel dan Hamas kini dilaporkan semakin hampir dengan usaha memuktamadkan gencatan senjata bagi menamatkan perang yang berlarutan di Gaza.
Pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir menyambung semula usaha pengantaraan mereka sejak beberapa minggu lalu dan melaporkan kesediaan serta kerjasama lebih besar daripada pihak yang bertelagah untuk menyelesaikan perjanjian itu.
Pegawai Hamas berkata, mereka bersedia untuk lebih fleksibel mengenai masa pengunduran tentera Israel dari Gaza, malah Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz turut mengumumkan pelaksanaan perjanjian itu sudah semakin dekat berbanding sebelum ini.
Pegawai di semua pihak memberi amaran butiran penting masih perlu diuruskan, namun lebih optimis tentang hasilnya.
Ini berikutan beberapa faktor, antaranya Israel telah menyebabkan kerosakan teruk kepada Hamas sepanjang perang dan kumpulan itu didakwa semakin terpencil selepas kekurangan sokongan Hezbollah dan Iran yang mengalami kemunduran di Lubnan dan Syria.
Di AS, kedua-dua pentadbiran Presiden, Joe Biden dan bakal Presiden, Donald Trump memberi isyarat pihaknya mahu perjanjian diselesaikan sebelum perubahan kepemimpinan Rumah Putih, 20 Januari depan.
Menurut pegawai Mesir dan Hamas, perjanjian itu akan berlaku secara berperingkat, termasuk penghentian pertempuran, pertukaran tebusan tawanan Israel untuk melepaskan tahanan Palestin serta lonjakan bantuan ke Semenanjung Gaza.
Fasa pertama dijangka berlangsung dari enam hingga lapan minggu dengan Hamas akan membebaskan kira-kira 30 tebusan yang dipercayai masih hidup termasuk tiga atau empat dua warganegara AS-Israel.
Israel pula akan membebaskan ratusan tahanan Palestin, termasuk seramai 100 orang yang menjalani hukuman penjara panjang kerana didakwa terlibat dalam serangan berdarah dengan rejim itu.
Usaha itu dijangka termasuk pembukaan semula persimpangan Rafah antara Gaza dan Mesir yang ditutup sejak tentera darat Israel menyerang bandar sempadan selatan pada Mei lalu.
Lintasan itu amat penting kerana ia merupakan pintu keluar utama bagi warga Palestin di Gaza yang ingin ke luar negara dan satu-satunya yang tidak dikawal oleh Israel.
Pengantara berkata, mereka sedang mempertimbangkan untuk kembali kepada perjanjian 2005 yang membenarkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa mengendalikan lintasan itu dengan pemerhati Kesatuan Eropah (EU).
Perjanjian itu runtuh apabila Hamas menguasai Gaza pada 2007 dan mengusir tentera PA.
“Semasa fasa pertama, tentera Israel akan berundur dari beberapa pusat penduduk Palestin, membolehkan ramai mula pulang tetapi rejim itu menegaskan tidak akan meninggalkan wilayah itu sama sekali pada peringkat ini sebaliknya akan kekal di sepanjang koridor strategik Philadelphi di sempadan Gaza dengan Mesir.
“Rundingan juga sedang bermula mengenai pengaturan terakhir untuk Gaza, termasuk siapa yang akan mentadbir wilayah itu dan rancangan untuk memulihkan kemusnahan,” jelas pengantara.-AP