BEIRUT: Tentera Israel dilaporkan melanggar gencatan senjata dengan Lubnan sebanyak ‘100 kali’ sejak perjanjian itu dicapai, minggu lalu.
Pencabulan perjanjian itu dilaporkan oleh tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.
“Sumber dari tentera pengaman PBB di Lubnan mengatakan tentera Israel melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak 100 kali sejak minggu lalu,” lapor CNN.
Sementara itu, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri menyifatkan tindakan keganasan tentera Israel sebagai pencabulan secara terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Ini berikutan pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan, kelmarin.
Susulan itu, Berri menggesa jawatankuasa yang bertanggungjawab memantau perjanjian gencatan senjata antara tentera Israel dan Hezbollah menjalankan tugas segara.
Ini supaya rejim menghentikan pelanggaran serta berundur dari kawasan diceroboh sebelum tindakan lain diambil.
Beliau yang sebelum ini mengetuai rundingan gencatan senjata dengan Utusan Amerika Syarikat (AS) selepas diberi mandat oleh Hezbollah berkata, lebih 54 pelanggaran Israel turut direkodkan.
Bantahan Berri dibuat ketika Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang terbunuh dalam serangan dron Israel berhampiran loji elektrik di Marjayoun.
Pihak Keselamatan Lubnan melaporkan serangan dron rejim turut membunuh seorang anggota tenteranya, Koperal Mahdi Khreis semasa bertugas di Nabatieh, 12 kilometer (km) dari sempadan.
Sumber keselamatan berkata, serangan Israel membedil tapak di dalam Lubnan, dengan dron rejim melepaskan tiga peluru berpandu ke arah perkampungan Hosh Al-Sayyed Ali di sempadan Lubnan-Syria.
Pada masa sama, Berri turut mengecam keganasan Israel termasuk merobohkan rumah di perkampungan sempadan Lubnan dan serangan terbaharu di Hosh Al-Sayyed Ali, Hermel dan Jdeidet Marjayoun sehingga meragut nyawa.
Beliau turut mempersoalkan sikap membisu jawatankuasa teknikal yang ditugaskan untuk memantau perjanjian itu, meskipun Israel secara jelas melakukan pencabulan.
Berri menegaskan, sehingga kini, Lubnan dan kumpulan Hezbollah masih komited dengan ikrarnya berkaitan perjanjian tersebut.
Laporan media mendakwa, Utusan AS, Amos Hochstein, yang mengendalikan rundingan gencatan senjata, ada menghantar mesej kepada Israel berhubung pelanggaran itu.
Bagaimanapun, Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari mendakwa pasukannya masih mematuhi perjanjian gencatan senjata, namun tempoh 60 hari berundur dari kawasan pencerobohan adalah proses berperingkat untuk memastikan tiada ancaman Hezbollah.- AGENSI