TEHRAN: Sebuah syarikat penerbangan Iran mencatat sejarah apabila melaksanakan penerbangan khas hanya untuk golongan wanita sahaja.
Penerbangan itu buat pertama kalinya mendarat di bandar Mashhad, menurut laporan media tempatan.
Penerbangan yang dikendalikan oleh Aseman Airlines itu diterajui oleh Shahrzad Shams, salah seorang juruterbang wanita terawal di Iran.
Pesawat tersebut membawa 110 penumpang, lapor agensi berita rasmi, IRNA.
Dikenali sebagai penerbangan ‘Iran Banoo’ (Wanita Iran), pesawat tersebut berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hasheminejad di Mashhad, bandar kedua terbesar di negara itu.
“Ini adalah kali pertama penerbangan khas wanita, dengan penumpang dan kru kesemuanya wanita mendarat di Mashhad,” lapor IRNA tanpa menyatakan lokasi berlepas pesawat tersebut.
Penerbangan itu diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Puteri Nabi Muhammad SAW, Fatimah az-Zahra.
Industri penerbangan Iran mula menyaksikan penglibatan wanita sebagai juruterbang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun ia masih jarang berlaku.
Pada Oktober 2019, Juruterbang, Neshat Jahandari bersama pembantu juruterbangnya, Forouz Firouzi, menjadi wanita pertama yang menerbangkan pesawat penumpang dalam sejarah republik Islam itu, menurut media tempatan. -AGENSI