BERBEKALKAN RM800 sebulan pemberian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seorang ibu tunggal berhempas pulas membesarkan empat cahaya matanya yang semua disahkan menghidap autisme sejak dilahirkan.
Bermula 2015, hidup Haslinah Abdul Hassan, 43, berubah 180 darjah apabila anak sulungnya, Muhammad Nur Izzat Ismail yang memasuki usia enam tahun disahkan autisme.
Keadaan itu sehingga menuntut wanita tersebut memberikan 110 peratus perhatian untuk membantu anaknya mengikuti pelbagai terapi intervensi disediakan kerajaan supaya dapat menjalani kehidupan lebih normal.
“Saya dan bekas suami ketika itu banyak menghabiskan masa menemani Izzat ke pusat terapi sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta. Pada masa sama, kami juga mendalami ilmu-ilmu berkaitan autisme kerana tidak terdedah dengan masalah sebegini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ujian Haslinah tidak terhenti di situ, sebaliknya, dia yang kemudian dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Putri Nur Alya Batrisyia, 12, Putra Nur Irfan Basir, 10, dan Putra Nur Izzuddin Yusuf, 6, turut disahkan autisme.
Bagaimanapun, menurutnya, ujian membabitkan tiga anaknya mampu diharunginya berbekalkan ilmu yang dilalui sepanjang membantu anak sulungnya mengikuti terapi dan hasil pembacaan di media sosial.
“Proses membesarkan keempat-empat mereka bertambah lancar apabila Nur Alya dan Nur Irfan diterima masuk ke Pusat Permata yang banyak memberi pendedahan lebih meluas mengenai keadaan anak-anak autisme.
“Tidak dapat dinafikan, Pusat Permata milik kerajaan sangat membantu saya membesarkan keempat-empat anak autisme saya malah keadaan Nur Alya dan Nur Irfan kini lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.
Namun baru mahu menghela nafas lega, Haslinah sekali lagi diduga apabila dia sendiri kemudian disahkan mengalami Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) dan sakit tulang belakang sekali gus mengakibatkan dirinya tidak lagi mampu untuk bekerja.
Dia yang kini pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) terpaksa mengerah kudrat yang ada untuk mengharungi kehidupannya bersama anak-anak dengan hanya berbekalkan wang saku sumbangan Baitulmal setiap bulan.
Apa yang merungsingkan adalah kedewasaan Nur Izzat yang kini berusia 16 tahun menuntutnya menyediakan pendidikan terbaik buat remaja itu supaya dapat berdikari di masa depan.
“Pilihan yang ada cuma memasukkan Nur Izzat ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan di Pahang supaya anaknya itu dapat meneruskan pengajiannya di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tetapi, menempuh jarak pergi dan balik sejauh lebih 500 kilometer setiap bulan untuk melawat anak sulungnya bukanlah ringan bagi kewangan Haslinah yang hanya bergantung wang saku RM800 sebulan.
ELAUN RM150 SEBULAN
“Kos perjalanan pergi balik dari sini ke Kuantan dan membeli barangan keperluan Nur Izzat menelan belanja sekitar RM300 setiap kali pergi melawatnya.
“Kadang-kadang, saya akui terpaksa menggunakan elaun RM150 (elaun austime) sebulan yang diberikan kerajaan untuk setiap seorang anak saya untuk menampung segala perbelanjaan, tetapi bantuan itu hanya diperoleh enam bulan sekali.
“Namun, itu sahaja pilihan kerana setakat ini di Kuala Lumpur tidak ada satu sekolah rendah mahu pun menengah khas buat anak-anak autisme yang jaraknya dekat dan tidak memerlukan belanja banyak,” luahnya.
Sebenarnya senario itu bukan hanya dihadapi Haslinah, sebaliknya turut diharungi oleh seramai 63,966 individu yang disahkan mengalami autisme berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat September lalu.
Ini disebabkan, bukan semua sekolah menengah atau rendah di seluruh negara menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sebaliknya ibu bapa perlu ‘berlumba-lumba’ untuk mendaftarkan anak autismenya masing-masing ke institusi yang menyediakan program tersebut.
Lebih malang, sekolah yang ada program PPKI biasanya hanya menyediakan dua kelas membabitkan sekitar 15 murid setiap darjah menyebabkan risiko untuk kanak-kanak autisme keciciran semakin meluas saban tahun.
Bagaimanapun, dalam pembentangan Belanjawan 2024, ibu bapa mempunyai anak-anak autisme yang menetap di sekitar Johor Bahru, Johor dan Tuaran, Sabah mampu menarik nafas lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk pembinaan sekolah murid berkeperluan khas.
“Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk murid autistik,” katanya.
SEDIAKAN SEKOLAH KHAS AUTISME
Pendidikan awal di pusat intervensi tidak boleh menjadi noktah dalam memulihkan anak-anak autisme sebaliknya pendidikan jangka panjang seperti sekolah rendah dan menengah perlu diwujudkan bagi membolehkan golongan itu menimba ilmu untuk menjalani kehidupan normal.
Sistem pendidikan kondusif dan komprehensif dalam jangka panjang mampu membantu pemulihan gejala autisme terhadap kanak-kanak bahkan menyediakan mereka untuk mendepani masa depan masing-masing.
Bekas Pengarah Pusat Permata, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, pendidikan awal yang diberikan kepada kanak-kanak autisme berusia tiga ke enam tahun di Pusat Permata merupakan langkah intervensi untuk mempersiapkan mereka menghadapi alam persekolahan sebenar.
Beliau berkata, kekurangan sokongan berterusan di peringkat seterusnya, menyebabkan kanak-kanak autisme terdedah kepada kesukaran menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan lebih tinggi.
“Masalah kekurangan pengetahuan dan latihan dalam kalangan guru-guru sekolah rendah dan menengah untuk menguruskan kanak-kanak autisme adalah isu yang sering diabaikan di Malaysia.
“Hampir kebanyakan guru di peringkat sekolah rendah dan menengah masih kurang memahami cara yang betul untuk mengajar dan berinteraksi dengan murid autisme.
“Justeru, kemasukan kanak-kanak autisme terutamanya bagi kumpulan spektrum autisme yang mempunyai tingkah laku sukar dikawal akan dimasuk ke dalam kelas pendidikan yang mana merangkumi golongan pelajar jenis OKU (Orang Kelainan Upaya) yang lain,” katanya.
Dalam Pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembinaan 11 Pusat Permata baharu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat pendidikan awal anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Beliau turut mengumumkan pembinaan dua sekolah baharu berkeperluan khas di Tuaran dan Johor Bahru dengan kos sebanyak RM300 juta.
“Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik,” katanya.
NASIB GOLONGAN AUTISME
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad menzahirkan sedikit kecewa apabila pengumuman itu dilihat meminggirkan nasib golongan autisme untuk memiliki sekolah rendah dan menengah khas.
Katanya, pembinaan 11 Pusat Permata baharu di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak merupakan satu permulaan yang baik.
“Tetapi, tumpuan kepada pendidikan rendah dan menengah juga amat perlu. Data menunjukkan lebih 60,000 rakyat Malaysia mengalami masalah autisme bermula pada usia setahun sehingga 18 tahun.
“Mereka yang didiagnos dengan masalah autisme memerlukan proses pembelajaran khusus dengan tumpuan dan fokus oleh tenaga pengajar terlatih,” katanya.
Kata beliau lagi, kekurangan fasiliti antaranya pusat pemulihan dalam komuniti autisme di Malaysia yang sangat rendah bilangannnya selain ketiadaan sekolah khusus di peringkat rendah dan menengah merumitkan lagi proses pemulihan.
“Kajian menunjukkan sistem pendidikan yang khusus bagi golongan ini amat bermakna dalam membantu proses pemulihan dalam jangka masa panjang.
“Malah, ketiadaan bantuan dan sokongan khusus oleh kerajaan kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme dari segi kelonggaran pelepasan cukai seperti OKU, kebenaran waktu kerja fleksibel untuk menghadiri sesi terapi dan kaunseling amat membimbangkan,” katanya. – UTUSAN