Hezbollah akui kehilangan laluan bekalan melalui Syria

Hezbollah akui kehilangan laluan bekalan melalui Syria

KUMPULAN pemberontak antikerajaan tiba di lebuh raya berhampiran bandar Azaz di utara Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Ketua Hezbollah, Naim Qassem mengaku kumpulan itu telah kehilangan laluan bekalan utama melalui Syria susulan kejatuhan Presiden, Bashar al-Assad minggu lalu, akibat serangan besar-besaran oleh pasukan pejuang.

Dalam ucapan pertamanya sejak peristiwa itu, Qassem menyatakan laluan tersebut, yang sebelum ini digunakan untuk membawa masuk senjata dan kelengkapan ketenteraan dari Iran melalui Iraq dan Syria ke Lubnan, kini telah terputus.

Laluan tersebut terjejas selepas pejuang anti-Assad merampas sempadan dengan Iraq pada 6 Disember, diikuti dengan kejatuhan Damsyik ke tangan pasukan pejuang dua hari kemudian.

“Ya, Hezbollah telah kehilangan laluan bekalan ketenteraan melalui Syria pada masa ini, tetapi kehilangan ini hanyalah satu perkara kecil dalam usaha penentangan kami,” katanya menerusi siaran televisyen pada Sabtu, tanpa menyebut nama Assad.

Menurutnya lagi, perubahan rejim mungkin membuka semula laluan itu atau membawa kepada alternatif lain.

Hezbollah mula campur tangan dalam konflik Syria pada 2013 untuk membantu Bashar menentang pejuang yang berusaha menggulingkannya ketika itu.

Bagaimanapun, minggu lalu, apabila pejuang semakin hampir ke Damsyik, Hezbollah menghantar pegawai penyelia untuk mengawasi pengunduran pejuangnya dari kawasan tersebut.

Selepas lebih 50 tahun pemerintahan keluarga Bashar, Syria kini berada di bawah kerajaan sementara yang diketuai oleh Hayat Tahrir al-Sham, sebuah kumpulan bekas sekutu al-Qaeda yang mengetuai serangan pejuang tersebut.

Qassem berkata, Hezbollah tidak akan menilai pihak baharu ini sehingga keadaan stabil dan pendirian mereka jelas.
Namun, beliau berharap rakyat dan kerajaan Syria serta Lubnan dapat terus bekerjasama.

“Kami juga berharap parti pemerintah baharu ini menganggap Israel sebagai musuh dan tidak menormalisasi hubungan dengannya. Ini adalah prinsip yang akan menentukan hubungan antara kami dan Syria,” katanya.

Hezbollah dan Israel sebelum ini terlibat dalam pertelingkahan di sempadan selatan Lubnan selama hampir setahun, yang berpunca daripada konflik di Gaza.
Namun, September lalu, Israel melancarkan serangan besar-besaran yang mengorbankan kebanyakan pemimpin tertinggi Hezbollah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya