PETALING JAYA: Singapura tidak rela insiden dua tahun lalu kembali berulang dalam usaha mereka mara ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN 2024 apabila di jadual menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Skuad The Lions kempunan untuk mara ke kelompok empat pasukan terakhir selepas langkah mereka disekat Harimau Malaya apabila tewas 4-1 di venue yang sama namun pasukan kebangsaan gagal ke final setelah kalah agregat 3-1 kepada Thailand.
Bagaimanapun, kapten Singapura, Harris Harun percaya dengan pengalaman yang dimiliki barisan pemain kali ini menjadikan mereka lebih matang untuk mengatasi Malaysia sambil disaksikan penyokong tuan rumah.
“Saya rasa kali terakhir, kami mempunyai ramai pemain muda yang mungkin tidak mempunyai banyak pengalaman bermain di suasana besar dan Bukit Jalil memang terkenal dengannya. Anda tahu, untuk datang ke sini memang sesuatu yang istimewa untuk bermain di sini.
“Tetapi saya rasa sekarang kami mempunyai beberapa pemain yang cukup berpengalaman, tahu bagaimana untuk mengendalikan situasi. Beberapa pemain kami bermain di tahap yang lebih tinggi, seperti ACL2 (Liga Juara-Juara Asia 2),” katanya.
Sementara itu, jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura mengakui faktor kecergasan menjadi cabaran buat dirinya dalam merencana strategi menurunkan pemain terbaik menjelang pertemuan esok.
Ogura berkata dia perlu memastikan kesemua pemainnya sempat melakukan proses pemulihan selepas mengalami kepenatan berikutan mengharungi aksi hampir dua jam ketika tewas 4-2 kepada Thailand di Stadium Nasional, Kallang, kelmarin.
“Aksi terakhir, saya tidak tahu tetapi kami bermain selama 120 minit. Kemudian pemain mula penat, jadi bagaimana kita boleh pulih, itu adalah perkara yang penting.
“Bukan sahaja Shawal (Anuar) tetapi semua pemain kepenatan namun sekarang keadaan kami semakin pulih,” katanya. – UTUSAN