PETALING JAYA: Sebanyak RM1 juta sumbangan dan bantuan berjaya dikumpul Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Harmoni Prihatin) khusus untuk rakyat Palestin.
Pengasas Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Harmoni Prihatin), Nor Hashim Abdullah berkata, jumlah tersebut melibatkan sumbangan yang berjaya dikumpul hampir RM15,000 sehari menerusi program ‘Harmony Kitchen Gaza’.
Menurut beliau, dengan jumlah tersebut, pihaknya mampu menyediakan makanan kepada 4,000 rakyat Palestin di enam kem pelarian termasuk di Nuseirat, Khan Younis, Mawasi, Bandar Gaza dan Utara Gaza.
“Bantuan diberikan bukanlah makanan semata-mata, ia turut meliputi pelbagai sumbangan lain termasuk keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu bayi, ubat-ubatan, baju sejuk, barangan keperluan wanita, barangan dapur, wang tunai, bekalan air bersih dan sebagainya mengikut keperluan semasa.
“Sumbangan rakyat negara ini merupakan lambang solidariti dan ihsan umat Islam susulan penindasan dan kekejaman berterusan dilakukan oleh rejim Israel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Nor Hashim, pihaknya berdepan risiko kenaikan harga barang yang sangat tinggi dan melampau setiap hari namun, sumbangan tetap perlu disalurkan agar menjadi sumber kekuatan dan harapan buat rakyat Palestin yang terpaksa berdepan situasi getir dan perit setiap hari.
Harmoni Prihatin turut menghantar sukarelawan ke Gaza untuk memantau dan mengendalikan aktiviti sumbangan di sana.
“Pada masa sama, laporan kewangan sumbangan turut direkodkan setiap hari bagi memastikan semua transaksi dikemaskini sebagai makluman kepada para penyumbang,” katanya. – UTUSAN