Harimau Malaya tiada nilai?, bukan 'hotel'

Harimau Malaya tiada nilai?, bukan ‘hotel’

Kain rentang dinaikkan Ultras Malaya sejurus selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024 Malaysia menentang Timor Leste, di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya seolah-olah tiada nilai apabila ada kelab bertindak memanggil pemain mereka pulang dengan sesuka hati sedangkan maruah negara dibawa pasukan berkenaan di pentas antarabangsa.

Dalam masa sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertegas kepada kelab-kelab untuk tidak mengganggu pemain-pemain yang telah disenaraikan dalam pasukan bagi mengharungi apa-apa kejohanan waima ia tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Jika tidak mahu melepaskan pemain berkenaan maka keputusan itu harus dibuat sebelum kejohanan bermula, bukannya memilih untuk memanggil pemain ketika pertandingan sedang berjalan.

Pasukan kebangsaan juga bukan hotel atau rumah ‘singgah’ di mana kelab-kelab boleh memanggil pemain mereka balik sesuka hati, keluar dan masuk.

Situasi itu sekali gus mengganggu fokus pemain selain merencat perancangan barisan kejurulatih dalam membentuk skuad terbaik untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Begitupun, pada kejohanan ini difahamkan FAM dan kelab sudah mencapai kata sepakat mengenai pemain-pemain yang boleh dilepaskan bila-bila masa.

Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana para pemainnya gagal memberikan fokus sepenuhnya kepada tugasan bersama Harimau Malaya.

Jelasnya, mereka tidak hanya perlu bermain untuk kejohanan Piala ASEAN 2024 tetapi juga perlu bermain untuk kelab mereka dalam saingan liga domestik.

“Bagaimana kita nak fokus pada kejohanan ini apabila kelab-kelab meminta mereka kembali dan mereka lewat melaporkan diri. Ini sangat sukar untuk pemain dan saya rasa mereka cuba buat yang terbaik dalam keadaan seperti ini,” katanya.

Skuad Harimau Malaya kini berada di puncak Kumpulan A dengan empat mata selepas dua perlawanan selepas seri 2-2 dengan Kemboja dan menang 3-2 ke atas Timor Leste, kelmarin.

Seterusnya, Harimau Malaya akan menentang Thailand,esok dan perlawanan itu akan menjadi penentu penting untuk menentukan kemaraan mereka dalam kejohanan ini.

Untuk rekod, kali pertama dan terakhir skuad kebangsaan menjulang piala itu adalah pada tahun 2010 dan ketika itu tidak timbul isu pemain yang berada dalam kem negara dipanggil balik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN