PETALING JAYA: Layak ke Piala Asia 2027 dan tembusi kelompok ranking ke-100 dunia menjadi dua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) awal yang perlu dicapai pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Bekas pengurus FC Tokyo itu akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Januari tahun depan dan pemilihannya dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdasarkan penilaian sebagai jurulatih muda yang berkaliber.
Cabaran utama Cklamovski adalah memastikan Harimau Malaya melepasi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac hadapan dengan bergelar juara Kumpulan F yang turut dianggotai Vietnam, Nepal dan juga Laos.
Untuk rekod, pengendali berusia 46 tahun pernah berkhidmat selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia.
Dalam masa yang sama, beliau juga pernah menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mengemudi kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.
“Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.
“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” kata FAM dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, karier kejurulatihan Cklamovski bermula selepas dia bertindak sebagai penolong jurulatih kelab Greece, Panachaiki pada 2008.
Beliau bagaimanapun berperanan sebagai jurulatih kecergasan bersama tiga kelab Perth Glory, Adelaide United dan Melbourne Victory dari tahun 2009 hingga 2014 sebelum menjadi penolong jurulatih Australia.
Dalam perkembangan sama, selain pelantikan jurulatih, FAM akan membuat perubahan dan pembaharuan untuk memantapkan aspek pengurusan, penggunaan teknologi dan perubatan.
Fasiliti pengurusan dan pasukan perubatan akan ditambah baik dan bakal menerima nafas yang baharu di bawah penstrukturan semula FAM.
Ini adalah sebahagian inisiatif-inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baharu untuk Harimau Malaya.-UTUSAN