GAZA : Kumpulan pejuang Palestin, Hamas menyiarkan video seorang tebusan warganegara Israel-Amerika yang merayu Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membantu membebaskannya dari tahanan.
Tentera tebusan, Edan Alexander, 20, yang diculik ke Gaza semasa serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, kelihatan dalam video berdurasi tiga minit setengah itu.
Dalam rakaman tersebut, Alexander kelihatan pucat dan duduk di ruang gelap sambil bersandar pada dinding.
Dia memperkenalkan dirinya serta memberi ucapan kepada keluarga, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Trump.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataannya disediakan oleh pihak Hamas atau sebaliknya.
Netanyahu menyifatkan video tersebut sebagai satu bentuk peperangan psikologi.
Beliau turut menghubungi keluarga Alexander untuk memberi jaminan usaha membawa pulang tebusan sedang giat dijalankan.
Daripada 101 tebusan asing dan rakyat Israel yang masih ditahan di Gaza, kira-kira separuh dipercayai masih hidup.
Sementara itu, pemimpin Hamas dijangka tiba di Kaherah untuk rundingan gencatan senjata bersama pegawai Mesir.
Pertemuan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membebaskan tebusan dengan pertukaran tahanan Palestin.
Langkah terbaru ini diambil selepas Washington minggu lalu, menyatakan pihaknya berusaha menghidupkan semula usaha untuk mencapai matlamat tersebut. -AGENSI