Guru tunai nazar jalan kaki 15 KM, permohonan tukar sekolah lulus

Guru tunai nazar jalan kaki 15 KM, permohonan tukar sekolah lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WONOGIRI : Kisah seorang guru yang berjalan kaki melintasi negeri dari Jawa Timur ke Jawa Tengah bagi menunaikan nazarnya selepas permohonan untuk ditukarkan diluluskan menjadi tular dalam media sosial.

Andrianto, 45, yang mengajar di Sekolah Menengah Pertama (SMP) Negeri 2 Plaosan, Magetan, selama 14 tahun, mencuri perhatian ramai apabila video perjalanan terakhirnya sebagai guru di sekolah tersebut dimuat naik di laman Instagram @tribunsolocom, Sabtu lalu.

Video berdurasi singkat itu memaparkan detik penuh emosi ketika dia dilepaskan oleh rakan sejawatan dan murid-muridnya, sebelum lelaki itu berjalan kaki dari Magetan ke rumahnya di Tirtomoyo, Wonogiri, Jawa Tengah.

Setiap hari, Andrianto terpaksa berulang-alik sejauh 80 kilometer dengan menaiki motosikal, yang memakan masa kira-kira dua jam sehala.

“Saya bertolak dari rumah selepas Subuh pada pukul 5 pagi dan tiba di sekolah sekitar pukul 7 pagi. Inilah rutin saya selama 14 tahun,” katanya.

Namun, dia mengakui cabaran besar itu mengorbankan masa bersama keluarganya, termasuk kedua-dua anaknya yang masih memerlukan perhatian, serta isterinya yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah berhampiran rumah mereka.

Menurut Andrianto, dia telah mengemukakan permohonan pertukaran guru sebanyak lima kali sejak 2018, tetapi semuanya ditolak kerana kekurangan guru pengganti di sekolah tempatnya mengajar.

Bagaimanapun, Julai lalu, permohonannya diterima apabila seorang guru pengganti bersetuju mengisi kekosongan tersebut, sebelum dia menerima Surat Keputusan (SK) pada Oktober lalu, dengan pertukaran rasmi bermula pada 1 November lalu.

Sebagai tanda syukur, Andrianto melaksanakan nazarnya untuk berjalan kaki sejauh 15 kilometer dari SMP Negeri 2 Plaosan ke rumahnya di Wonogiri, melintasi lapan buah kampung di sepanjang perjalanan.

Perjalanan itu dilakukannya pada 31 Oktober, iaitu hari terakhir beliau mengajar di Magetan, sebelum kembali ke rumah dengan menaiki motosikal.

Video perjalanan tersebut dimuat naik ke media sosial keesokan harinya, mencetuskan perhatian meluas hingga mencecah lebih dua juta tontonan.

Andrianto kini mengajar di sebuah sekolah di Wonogiri, hanya tiga kilometer dari rumahnya.
Jarak itu membolehkan dirinya pergi dan pulang bersama-sama isteri dan anak-anak, dengan perjalanan mengambil masa kurang 10 minit. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN